25 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PKPP UMS MENERAPKAN SEMANGAT PATRIOTISME MELALUI KURSUS KOKURIKULUM BERKREDIT

OLEH: DR JURRY FOO
Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. (Rakan strategik BDB)

https://web.facebook.com/pkppumskk

KURSUS kokurikulum berkredit ialah kursus teras universiti yang wajib diikuti oleh semua mahasiswa dan wajib lulus untuk layak bergraduat. Ini kerana kursus matapelajaran umum (MPU) ini mempunyai nilai tambah tersendiri iaitu mahasiswa akan dibimbing dan didedahkan dengan pelbagai aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran berasaskan pelajar demi pembentukan diri mahasiswa yang bersifat holistik dan mampu menjalankan tanggungjawab dalam masyarakat, sesuai dengan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki. Bagi mencapai matlamat itu, semestinya beberapa kriteria, termasuk semangat ‘Cinta Negara’ iaitu semangat patriotik perlu diperkasakan dalam diri mahasiswa agar menjadi penduan kepada setiap pemikiran dan tindakan.

Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) setelah sekian lama menerapkan nilai patriotisme dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pusat ini bertuah kerana mempunyai kursus-kursus unit beruniform yang sememangnya sinonim dengan aspek kenegaraan. Inilah relevannya penawaran kursus-kursus tersebut yang bukan sahaja membawa mahasiswa mendalami bidang tugas unit beruniform, membuka peluang menceburi bidang pekerjaan unit beruniform malah mendekatkan mereka kepada semangat perjuanban yang bermula dengan perasaan cintakan negara bangsa.

Kursus kokurikulum berkredit bukan beruniform pula didedahkan dengan pelbagai aktiviti yag diadun dalam sistem PdP di PKPP UMS yang banyak melibatkan interaksi antara mahasiswa dan program bersama masyarakat pelbagai kaum. Dua aktiviti utama yang diadakan di PKPP ialah (1) Kuliah Berpusat dan (2) UMS SPRINT. Kuliah berpusat adalah program pengenalan kepada kemahiran insaniah dan slot patriotisme melalui bual bicara dan perkongsian pengalaman daripada kalangan panel yang terlibat dalam pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan dan nama baik negara. Manakala UMS SPRINT adalah jenama aktiviti kemasyarakatan melibatkan mahasiswa dan komuniti terpilih. Melalui aktiviti ini mahasiswa dibimbing untuk memahami isu semasa dalam masyarakat, mencadangkan dan melaksanakan aktiviti yang boleh membantu masyarakat secara sistematik dan seterusnya mengambil pengalaman daripada aktiviti tersebut agar dapat menjadi panduan dalam hidup bermasyarakat. Ini juga akan memupuk sikap peduli antara ahli masyarakat yang harus  dibudayakan.

Karnival kokurikulum pula merupakan aktiviti yang mempertemukan semua mahasiswa yang daripada kursus berkredit unit beruniform dan bukan beruniform untuk berkongsi hasil pembelajaran masing-masing mengikut kursus yang diikuti. Selain menjadi platform untuk menonjolkan bakat, karnival ini juga membuka peluang kepada usaha membina hubungan silaturahim sesama mahasiswa yang majoritinya dalam kalangan mahasiswa tahun pertama.

PKPPUMS percaya bahawa sistem PdP yang lestari hendaklah sentiasa dikemaskini dengan perkembangan semasa, sesuai dengan generasi. Oleh itu, PKPPUMS pada sesi hadapan akan memperkenalkan modul patriotisme dan modul perpaduan dalam PdP melalui aktiviti yang ringkas, bersifat normal baharu tanpa bersemuka tetapi diyakini dapat membimbing mahasiswa mempimpin diri sendiri dan orang lain di samping menguasai kemahiran sosial seterusnya menjadi warganegara yang prihatin. Manakala kuliah berpusat akan dijenamakan semula sebagai minggu inovasi bagi memupuk pelajar berfikir dan bertindak menghasilkan idea bernas dan hasil ciptaan berkualiti dalam mendepani isu penghidupan yang semakin rencam dalam dunia serba moden. PKPPUMS yakin kerangka PdP yang disediakan pusat ini dapat memberikan manfaat kepada mahasiswa asalkan mereka sedia untuk memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang telah disediakan.  Selamat Hari Malaysia.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN