Gambar Atas– Arthur menyampaikan bantuan kepada salah seorang warga emas yang turut menerima bantuan makanan.
PENSIANGAN: Setakat Ahad (kelmarin) sebanyak 200 kampung di seluruh kawasan P.182 Pensiangan telah menerima bantuan makanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)akibat penularan COVID-19.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)Arthur Joseph Kurup berkata, misi pengagihan bantuan makanan tersebut kini masuk fasa keempat sepanjang PKP yang kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Saya berterima kasih kepada semua penyelaras yang membantu mengagihkan bantuan ini di kampung masing-masing” katanya.dalam catatan laman facebooknya selepas mengagihkan bantuan kepada sebanyak 48 kampung melibatkan kawasan Sook, Tulid, Terusmadi, Sinulihan, Tinagalan, Ansip dan Dalit melibatkan lebih daripada 1,500 orang pada Ahad.
Arthur yang juga Ahli Parlimen berkata, bantuan makanan telah diagih-agihkan kepada penduduk yang terkesan dengan PKP di kawasan Pensiangan yang membabitkan DUN Sook dan Nabawan.
Beliau berharap bantuan makanan tersebut dapat menambah keperluan penduduk yang terjejas sepanjang PKP. Tamat/-