27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PKKP UMS Tingkat Kawalan Keselamatan Pekerja Hadapi Cabaran COVID-19

Gambar – Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin merasmikan sambutan Hari OSH Sedunia Peringkat UMS secara dalam talian.

0leh: Leo Salbinus

KOTA KINABALU, 11 JUN 2021 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) meningkatkan kawalan keselamatan pekerja bagi menghadapi cabaran COVID-19 dengan memperkenalkan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 UMS PKKP melalui Pekeliling Pendaftar Bil.4 Tahun 2020

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, garis panduan tersebut adalah sebagai panduan kepada semua kakitangan, warga UMS dan juga pekerja luar berhubung langkah-langkah kawalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi pencegahan jangkitan COVID-19 di UMS.

“Selain itu, beberapa Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga telah dibangunkan bagi mengadaptasi norma baharu dalam aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan mana-mana operasi UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia Peringkat UMS yang disiarkan secara dalam talian di laman Facebook rasmi UMS.Official dan platform Cisco Webex.

Menurut Taufiq, bagi mencapai satu sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang berdaya tahan, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 UMS juga telah menjalankan pelbagai aktiviti.

“Ini meliputi roadshow pencegahan COVID-19 di UMS, statistik harian dan pemantauan kes positif COVID-19, Person Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) dalam kalangan pekerja, pelajar dan pekerja luar yang dipantau secara harian, pemantauan harian Pusat Kuarantin UMS.

“Pemantauan harian penggunaan PPE, gejala dan beban kerja barisan hadapan UMS, Aktiviti Pendidikan dan Promosi Kesihatan secara harian di media sosial rasmi UMS, Hotline COVID-19, pemantauan status perakuan kesihatan harian kakitangan dan pelajar yang menjalani pengasingan di UMS melalui sistem UMS Shield, dan program promosi vaksinasi COVID-19 dan permohonan sebagai Pusat Pemberian Vaksin,” kata Taufiq.

Taufiq dalam masa sama berkata pelajar merupakan kumpulan yang tergolong sebagai individu yang mungkin terkesan dengan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UMS terutamanya di kolej kediaman.

“Untuk itu, Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF), dengan kerjasama PKKP telah mewujudkan Anugerah Penarafan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kolej Kediaman yang julung kali diadakan bertepatan dengan falsafah kolej kediaman yang memelihara kesejahteraan dan keharmonian warganya.

“Program tahunan bagi memberikan penarafan bintang kepada semua kolej kediaman ini akan menggalakkan penglibatan warga kolej kediaman dalam aktiviti keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi menyokong kolej kediaman untuk memperoleh Persijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ISO 45001:2018) bermula tahun 2021,” katanya.

Ujar Taufiq, dengan iltizam yang tinggi bagi mendapatkan persijilan tersebut akan meningkatkan lagi standard amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efektif sesuai dengan situasi pandemik masa kini, dan seterusnya membina keyakinan dan kepercayaan pemegang taruh, masyarakat dan kerajaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan di UMS.

Selain pelancaran Anugerah Penarafan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kolej Kediaman, beberapa siri perkongsian ilmu dan bual bicara berkaitan dengan isu dan cabaran dalam pembudayaan norma baharu di tempat kerja bersama wakil dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah, pakar ergonomik dari Universiti Malaysia Perlis dan ahli akademik UMS menjadi pengisian sambutan Hari OSH Sedunia Peringkat UMS yang berlangsung sehari secara atas talian melalui platform Cisco Webex.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN