Rapedah ketika menyampaikan ucapan bersama YDP Hilda (kiri) dan GB Alexius (kanan)
PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan antara mekanisma penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti. Menerusi PIBG banyak program boleh disusun bagi memastikan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah berada pada tahap cemerlang.
Tidak dinafikan sekolah adalah sebuah institusi pendidikan yang mempunyai strategi tersendiri dalam meningkatkan kualiti dalaman dan luaran. Namun peranan ibu bapa dan anggota komuniti juga antara faktor penting yang boleh mewujudkan pendidikan berkualiti. Ibu bapa sebagai anggota masyarakat mesti memainkan peranan yang serius terhadap pendidikan anak-anak.
Ibu bapa juga harus memberi maklumat dan maklum balas terhadap kemenjadian anak-anak di rumah kepada pihak sekolah serta memberi kerjasama dalam pelbagai aktiviti pembinaan ilmu yang dijalankan oleh guru dan sekolah.
Di samping sentiasa berkolaborasi dengan pihak sekolah dan guru-guru serta mengambil tahu proses pendidikan, Ibu bapa juga perlu bersama dengan pihak sekolah dalam memainkan peranan menentukan pencapaian yang maksima terhadap kejayaan seseorang pelajar.
Demikian antara inti ucapan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pendidikan Khas, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Puan Rapedah Hassan ketika menyampaikan ucapan khas sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Nalapak yang diadakan di Dewan Kampung Nalapak, baru-baru ini.

barisan AJK baharu PIBG sesi 2022/23
“Berdasarkan pemerhatian saya atas perkongsian data daripada Guru Besar, Alexius Majinggol dan Guru Kanan Kurikulum, Paul Gambisir, prestasi pencapaian pelajar di sekolah ini secara keseluruhan adalah di peringkat terbaik. Tiada pelajar yang berada di Tahap Penguasaan rendah TP1 atau TP2. Semua berada di Tahap Penguasaan TP3 dan ke atas. Ini menunjukkan budaya persefahaman yang baik telah wujud di antara PIBG dengan pihak sekolah” katanya.
“Setiap Ibu bapa perlu tahu pada tahap mana kedudukan anak-anak mereka berada. Jika berada di TP1 atau TP2, ibu bapa boleh berjumpa guru-guru berkenaan bagi membincangkan punca masalah anak-anak dan mencari kaedah rawatan yang bersesuaian seperti memberikan semangat motivasi dan bimbingan di rumah. Bagi anak-anak yang berada di Tahap Penguasaan cemerlang, kongsikan bersama ibu bapa lain tentang rahsiah atau kaedah yang diamalkan dalam mendidik anak-anak” katanya.
“Tiada alasan kita tidak tahu mendidik anak-anak pada masa kini. Jika dahulunya ada ibu bapa yang tidak mengenal huruf sudah semestinya ia menjadi satu cabaran bagi mereka. Berbanding sekarang jarang kedengaran ibu bapa tidak tahu membaca. Bermakna ibu bapa pada masa sekarang lebih berpengetahuan dan sentiasa bersedia menjadi guru kepada anak-anak di rumah dan ini sudah dibuktikan semasa Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR)” katanya lagi.
Rafedah dalam ucapannya turut mencadangkan agar pihak PIBG mengadakan program-program perkongsian di kalangan bekas-bekas pelajar yang telah berjaya. Selain itu ibu bapa pelajar berkenaan juga boleh dijemput untuk mengongsikan pengalaman bagi menjana idea bagaimana ibu bapa tersebut mendidik anak-anak mereka sehingga mendapat kecemerlangan dalam pelajaran.
“Terimakasih kerana menjemput saya bersama dalam mesyuarat ini. Kita doakan penularan Covid-19 akan segera berlalu agar para ahli PIBG dapat mengadakan berbagai program seperti sebelumnya” katanya.
Terdahulu, turut berucap pada majlis itu ialah Guru Besar, Alexius Majinggol dan Yang Dipertua PIBG, Hilda Henry. Majlis yang dihadiri seramai 38 orang ahli PIBG itu diadakan selepas waktu persekolahan. Majlis diakhiri dengan pengisian borang penyata persendirian oleh barisan AJK PIBG baharu serta sesi foto.