ADVERTISEMENTspot_img

PGRS RANCANG PENSTRUKTURAN SEMULA BAHAGIAN KEPADA 26 BAHAGIAN BERASASKAN BAHAGIAN PARLIMEN

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) merancang melaksanakan penstrukturan semula organisasinya daripada 74 bahagian kepada 26 termasuk Labuan dalam usaha memperkemaskan serta mengukuhkan parti itu.

Ketua Penerangan PGRS Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata langkah itu dipersetujui Majlis Tertinggi parti bagi memastikan gerak kerja lebih tersusun dan berkesan.

“Kita memang bersetuju untuk menyusun semula struktur Parti Gagasan Rakyat Sabah atas tujuan untuk memperkemaskan lagi, untuk mengukuhkan lagi parti ini sebagai tunjang kepada kerajaan perpaduan yang ada di Sabah.

“Dan mudah-mudahan dengan penstrukturan semula ini akan memberi banyak kebaikan lagi di dalam perjuangan Gagasan Rakyat untuk membela rakyat,” katanya kepada pemberita semalam.

Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah berkata struktur baharu itu dijangka kembali kepada pembahagian berasaskan 25 kawasan Parlimen di Sabah serta satu di Labuan.

Mengulas lanjut, beliau berkata penstrukturan semula itu merupakan hala tuju baharu bagi PGRS dalam memperkukuh operasi parti di semua peringkat.

“This is way forward untuk PGRS and then ia akan lebih memudahkan kita untuk melakukan apa juga aktiviti-aktiviti di peringkat parti dan sudah pasti bila parti kita berjalan dengan lancar, ia menjadi satu compliment kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini.

“Setakat ini kita berjalan seperti yang ada sekaranglah. Smooth dan kita akan memastikan hubungan yang baik antara negeri dan persekutuan terus terpelihara demi kepentingan negeri Sabah dan juga rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata parti akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan termasuk pindaan perlembagaan parti.

Mengulas persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, Nizam berkata PGRS akan terus mempertahankan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden PGRS.

Beliau berkata kerjasama antara parti dalam kerajaan negeri ketika ini berjalan lancar dan stabil.

Dalam perkembangan lain, Nizam berkata Biro Penerangan PGRS akan terus memperkukuh jentera komunikasi termasuk merancang penganjuran kursus kecerdasan buatan (AI) kepada jentera penerangan di seluruh Sabah.

Selain itu, katanya pertandingan pidato turut akan dianjurkan bagi mencungkil bakat baharu dalam kalangan ahli parti untuk menyampaikan hala tuju kerajaan dengan lebih berkesan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN