ADVERTISEMENTspot_img

PGRS P.174 PENAMPANG PERKUKUH ORGANISASI, SATUKAN KEKUATAN MOYOG DAN KAPAYAN

Mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Penaja Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian P.174 Penampang dipengerusikan Datuk Ceasar Mandela Malakun (duduk tengah)

PENAMPANG: Penubuhan Jawatankuasa Penaja Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian P.174 Penampang menjadi langkah penting dalam memperkukuh struktur organisasi serta menyelaras gerak kerja parti di kawasan Parlimen berkenaan.

Ketua Penerangan PGRS Bahagian P.174 Penampang, Petrus C. Mojuntin berkata penubuhan jawatankuasa itu turut membuka lembaran baharu dalam usaha menyatukan kekuatan akar umbi daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Moyog dan Kapayan.

Beliau berkata bahagian berkenaan yang dikemudi YB Datuk Ceasar Mandela Malakun kini mempunyai asas organisasi yang lebih tersusun bagi memperkemas penyelarasan gerak kerja parti di peringkat bahagian dan akar umbi.

“Penubuhan Jawatankuasa Penaja ini menjadi asas penting untuk menyatukan tenaga, pengalaman dan kekuatan akar umbi daripada kedua-dua kawasan DUN, sekali gus memperkukuh peranan setiap lapisan kepimpinan parti.

“Dengan penyatuan ini, kita mahu memastikan gerak kerja organisasi dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, berkesan dan dekat dengan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Petrus, skop kawasan yang lebih luas turut membawa tanggungjawab yang lebih besar kepada kepimpinan PGRS Bahagian P.174 Penampang.

Sehubungan itu, katanya, seluruh kepimpinan bahagian berkenaan bersedia menggalas amanah dengan mengutamakan semangat kebersamaan, kesatuan dan komitmen bagi memperkukuh parti.

Beliau berkata penyatuan kekuatan Moyog dan Kapayan bukan sekadar membabitkan aspek struktur organisasi, tetapi turut menjadi landasan untuk memperkukuh hubungan parti dengan masyarakat serta memastikan aspirasi rakyat terus menjadi keutamaan.

“Kita mahu Gagasan Rakyat terus dekat dengan rakyat dan menjadi wadah yang mampu membawa suara serta aspirasi mereka secara berkesan,” katanya.

Petrus berkata PGRS P.174 Penampang akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan akar umbi, penyelarasan organisasi dan pemantapan gerak kerja bagi memastikan parti mempunyai struktur yang kukuh serta mampu bergerak secara lebih tersusun di kawasan berkenaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN