ADVERTISEMENTspot_img

PGRS Nabawan sokong penuh pendirian pucuk pimpinan parti

Ghani (ketujuh dari kanan) bersama barisan kepimpinan bahagian merakamkan gambar dengan perwakilan yang hadir.

NABAWAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Nabawan menyokong penuh pendirian pucuk pimpinan parti seperti kenyataan Presiden Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menyatakan parti tempatan mestilah menjadi parti dominan untuk menerajui Sabah.

Ketua Bahagiannya Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, tidak kiralah dengan siapa parti hendak bekerjasama yang pasti syarat ini mestilah dipersetujui oleh semua pihak bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mestilah menjadi parti dominan untuk mengemudi negeri Sabah.

Katanya, Pilihan Raya Negeri ke 17 (PRN17) kali ini memberi peluang kepada GRS untuk membuktikan bahawa gabungan parti lokal yang diberi mandat oleh rakyat Negeri Sabah untuk mentadbir Kerajaan Negeri demi kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan Negeri Sabah.

Ghani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan yakin dengan kekuatan GRS selaku parti lokal mampu menterjemahkan kestabilan politik negeri Sabah sekaligus memberi kesan berganda kepada pembangunan dan kesejahteraan Negeri tanpa diganggu gugat oleh pihak luar.

“Kemajuan sesebuah kawasan itu mestilah berpaksikan kepada perancangan teratur, pengurusan yang sistematik dan kestabilan politik.

Jadi saya menyeru kepada semua jangan sia-siakan peluang yang kita ada demi kestabilan politik dalam usaha kita untuk memastikan pembangunan Negeri Sabah terus bergerak seiring dengan aspirasi rakyat Sabah” katanya semasa berucap sempena Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian N.46 Nabawan di dewan belia di sini pada Sabtu lepas.

Pada masa sama Ghani mengingatkan semua ahli parti Gagasan Rakyat dan ahli-ahli parti komponen GRS agar janganlah mudah terpengaruh dengan fitnah-fitnah jahat daripada pihak lawan atau pembangkang kerana tomahan mereka semua adalah cara mereka untuk cuba memecahbelahkan kesatuan komponen GRS.

“Kita dan parti-parti komponen yang lain mestilah bersatu untuk memastikan GRS terus kuat dan disukai oleh rakyat di negeri ini” tegasnya.

Apa yang penting katanya, ahli-ahli parti teruskan bercakap tentang kejayaan-kejayaan dan usaha-usaha murni berterusan Kerajaan Negeri pada ketika ini untuk menarik sokongan rakyat terhadap GRS khususnya untuk masyarakat
Nabawan dan amnya untuk rakyat Sabah.

Dalam perkembangan lain Ghani berkata, Parti Gagasan Rakyat merupakan parti tempatan juga komponen dalam GRS telah melalui beberapa fasa perubahan dalam arena politik peringkat Persekutan dan Negeri yang telah bermula pada
tahun 2018 selepas jatuhnya pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Walau bagaimanapun katanya, beliau yakin dengan gabungan beberapa parti lokal maka kekuatan dan aspirasi rakyat Sabah melalui GRS dapat ditejemah dengan sebaiknya melalui kesatuan dan kebersamaan yang padu untuk menstabilkan kembali arena politik di negeri ini demi pembangunan dan kesejahteraan negeri Sabah yang berterusan.

Menyentuh PRN 17, Ghani berkata, sudah pasti semua orang sedang menunggu pengumuman pembubaran DUN Sabah yang akan diumumkan pada bila-bila masa.

Sehubungan dengan ini beliau menyeru kepada semua ahli parti persiapkan jentera, rapatkan saf dan sentiasa bersedia dengan apa jua cabaran untuk memastikan kemenangan sekali lagi pada PRN 17 nanti.

Ghani berkata, selama tempoh hampir 5 tahun berlalu beliau selaku wakil rakyat di sini telah mencuba sedaya upaya dengan pelbagai cara yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan dan pembangunan daerah Nabawan terus bergerak seiring masa perubahan dan keperluan semasa untuk masyarakat daerah ini.

“Sebenarnya perjuangan belum selesai masih banyak perkara yang perlu saya selesaikan dengan dokongan dan sokongan akar umbi supaya pembangunan dan kesejahteraan rakyat Nabawan akan terus terbela bukan untuk kita sahaja malah untuk generasi akan datang” jelasnya.

Ghani turut menekankan pencapaian Kerajaan GRS sepanjang tiga tahun lalu amat ketara walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, semasa penularan pandemik Covid-19 pada tahun 2020, pelaksanaan sekatan pergerakan memberi kesan besar kepada pentadbiran, namun kerajaan tetap berjaya berfungsi dengan berkesan hampir empat tahun.

“Inilah juga cabaran tahun pertama saya menjadi wakil rakyat kita diuji dengan pandemik COVID-19 malah suhu politik kita juga tidak menentu tatkala berlaku perubahan pucuk pimpinan Kerajaan. Kita juga diuji dengan bencana alam iaitu banjir besar di daerah ini yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Inilah cabaran yang saya dan rakan-rakan pemimpin yang lain telah lalui” katanya.

Walaupun begitu katanya, banyak kejayaan dan perubahan baik yang telah dapat laksanakan untuk kawasan Nabawan.

Seramai 510 orang perwakilan hadir dalam mesyuarat tahunan parti itu yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin parti komponen GRS di kawasan ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN