Naim Kurniawan DSP Moktar
KOTA KINABALU: Seorang pemerhati politik, Harlizam Ali Shakbar, berpandangan bahawa sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan, pertimbangan wajar perlu diberikan terhadap kesinambungan kepimpinan di kawasan berkenaan.
Dalam catatan di media sosialnya baru-baru ini, beliau menyifatkan sumbangan berterusan Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dalam politik Sabah sebagai faktor penting yang telah lama memastikan kestabilan, pembangunan serta kebajikan rakyat di Lamag dan Kinabatangan.
“Allahyarham Bung Moktar telah lama berbakti, memastikan kestabilan dan pembangunan yang menyentuh akar umbi
“Justeru, kesinambungan kepimpinan bukan sahaja relevan, tetapi penting kepada penerusan agenda rakyat,” katanya.
Harlizam turut melihat bahawa anak Allahyarham, Naim Kurniawan DSP Moktar, merupakan antara individu yang berpotensi meneruskan legasi tersebut berikutan kedudukan dan pengalamannya dalam arena politik.
Naim kini merupakan Bendahari Pemuda UMNO Malaysia serta Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, yang menurut beliau menunjukkan penerimaan masyarakat akar umbi dan disiplin dalam organisasi politik.
“Dari perspektif saya, ini menjadikan beliau calon yang wajar untuk meneruskan khidmat ayahnya,” katanya.
Pemerhati itu turut mencadangkan agar parti-parti lain seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), WARISAN dan Pakatan Harapan (PH) memberi laluan bersama sekiranya PRK diadakan, sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham selain mengekalkan kestabilan politik di kawasan terbabit.
“Sekali lagi, ini hanyalah pandangan peribadi saya sebagai individu yang mengikuti perkembangan politik tempatan dan menghargai sumbangan DSP Bung Moktar kepada rakyat Lamag dan Kinabatangan,” katanya.



