22.9 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 20, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Pesta Kaamatan untuk semua, bukan hanya KDMR: James

JAMES.. ketika menyempurnakan gimik perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Lahad Datu, diiringi kenamaan lain

LAHAD DATU: Perayaan Pesta Kaamatan dirayakandan diraikan bersama seluruh lapisan masyarakat diSabah tanpa mengira bangsa, suku kaum dan etnik termasuklah di kawasan Pantai Timur seperti daerah Lahad Datu, Sandakan, Kunak, Tawau dan Semporna.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib mengajak masyarakat yang bukan suku kaum KDMR supaya membuang tanggapan atau stigma bahawa perayaan ini hanya untuk etnik KDMR sahaja.


“Daerah Lahad Datu adalah antara daerah di negeri ini yang mempunyai keunikan tersendiri dengan etnik orang asal KDMR seperti Dusun Segamo, Dusun Subpan, Idahan dan Dusun Begak.


“Saya percaya melalui perayaan Pesta Kaamatan, kita berupaya memperkukuhkan dan memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan dan kekitaan dalam kalangan rakyat pelbagai suku, kaum dan budaya di negeri bawah bayu yang kita cintai ini,” jelas beliau.


James yang juga Adun Sugut menambah, Pesta Kaamatan adalah manifestasi keharmonian dan semangat muhibah masyarakat di negara ini untuk hidup aman damai dan bersatu padu walaupun terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, agama dan kepercayaan.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Lahad Datu yang diadakan di Dewan Sri Perdana dekat sini pada hari Ahad.


Sementara itu, kata beliau, Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik dan mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini.


“Tentunya pesta ini akan dapat mengukuhkan lagi toleransi dan semangat kekitaan yang telah terjalin di negeri ini seterusnya menggembleng matlamat membina masyarakat Malaysia yang penyayang.


“Justeru, tema Kaamatan pada tahun ini, ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’ adalah tepat pada masanya kerana ia mencetus satu transformasi ke arah masyarakat berbilang kaum yang penyayang dan saling hormat menghormati,” kata beliau.


Menurut James lagi, Pesta Kaamatan kini sudah diiktiraf sebagai perayaan nasional kerana sambutannya turut diraikan melangkaui batasan etnik dan agama sekali-gus mencerminkan konsep ‘Malaysia Madani’ yang telah diilhamkan oleh Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.


“Kerajaan negeri pada hari ini di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, sentiasa komited untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh pelosok negeri termasuklah di daerah Lahad Datu, melalui pelaksanaan pelbagai dasar dan agenda,” kata beliau.


Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa penganjur yang dipengerusikan Firuz Idzualdeen Benetty Mohd Dzul, Pegawai Daerah Lahad Datu, kerana berjaya menganjurkan pesta kaamatan pada kali ini.

Beliau menyokong cadangan menaiktaraf Lahad Datu sebagai Majlis Perbandaran oleh Firuz dan berharap hasrat ini akan dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Negeri berdasarkan beberpa kriteria atau justifkasi sedia ada di daerah ini.

James turut mencadangkan kepada kerajaan Negeri supaya Daerah Lahad Datu dipilih sebagai Tuan Rumah Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024.
TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN