Robert (tiga dari kiri) bersama Dr Jeffrey menyampaikan sumbangan barang makanan kepada warga emas dan ibu tunggal sempena Pesta Kaamatan itu.
KENINGAU: Perayaan pesta menuai yang lebih dikenali Pesta Kaamatan merupakan satu saluran tanda terima kasih masyarakat petani atas hasil tuaian usaha mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, Pesta Kaamatan juga memaparkan keunikan budaya dan adat resam rakyat berbilang kaum dan budaya yang wujud di negeri.
“Ianya adalah aset yang paling penting serta perlu dipelihara sampai bila-bila kerana ianya merupakan aset yang cukup berharga malah sukar ditemui di mana-mana negaraÄ«” katanya semasa berucap sempena Pesta Kaamatan Peringkat Mukim Apin-Apin, Bunga Raya/Merampong baru-baru ini.
Pesta Kaamatan yang diserikan dengan pelbagai acara kebudayaan suku kaum di kawasan itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr.Robert Jefftey Kitingan yang juga Ahli Parlimen Keningau.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, konsep Malaysia Madani yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri amatlah bertepatan dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu “Kaamatan Membudayakan Perpaduan” adalah bepandukan kepada kehidupan bermasyarakat di negeri ini.
Katanya, Pesta Kaamatan juga merupakan satu sambutan yang diraikan pada setiap tahun oleh masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) merupakan satu budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman.
Beliau berkata, pesta ini bukan sahaja bertujuan untuk melahirkan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim.
“Dengan semangat perpaduan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit, kita perlu memupuk rasa cinta dan sayang sesama kita yang begitu unik dan indah di tempat kita ini. Peranan dan tanggungjawab kita bersama dalam menentukan hala tuju Sabah Maju Jaya yang diilhamkan oleh Ketua Menteri dijadikan sebagai budaya hidup bagi memastikan perpaduan dan keharmonian melalui penghayatan kepada Pesta Kaamatan dapat dipupuk dan diwariskan kepada genarasi akan datang” jelas Robert.
Selain itu katanya, Pesta Kaamatan adalah manifestasi keharmonian dan semangat muhibah masyarakat di negeri dan negara ini untuk hidup aman damai dan bersatu padu walau pun terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, agama dan kepercayaan.
Memurut Robert, Pesta Kaamatan pada tahun ini akan terus memberi inspirasi dan kekuatan kepada masyarakat untuk memperkasakan lagi semangat perladuan serta memastikan kestabilan, keamanan dan kemakmuran rakyat dan negara khususnya negeri Sabah turut terpelihara.