GIMIK…James beesama yang lain mengatam padi sebagai gimik perasmian sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Lahad Datu, pada Ahad
LAHAD DATU: Kerajaan Negeri juga telah menaikkan jumlah peruntukan penganjuran Kaamatan kepada RM50,000 bagi daerah penuh pada tahun ini berbanding hanya RM10,000 pada tahun sebelum ini dan RM7,000 pada tahun-tahun sebelumnya.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib berkata, perkara itu juga adalah salah satu bukti keprihatinan kerajaan Negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membantu mengurangkan beban kos penganjuran di peringkat daerah.
“Kita percaya penganjuran majlis seperti ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana memerlukan kos yang tinggi setiap tahun termasuk pengorbanan masa dan tenaga.
“Walaupun jumlah baru ini masih tidak mencukupi tetapi saya percaya pihak jawatankuasa penganjur tentu mempunyai solusi kepada cabaran ini,” katanya.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Lahad Datu Tahun 2025 yang diadakan di Dewan Perdana Lahad Datu pada hari Ahad.
Beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur Perayaan Pesta Kaamatan Daerah Lahad Datu di bawah pimpinan Pegawai Daerah.
Katanya, kehadirannya di majlis itu adalah atas semangat untuk memupuk dan membawa segenap lapisan masyarakat untuk mencintai budaya, adat tradisi nenek moyang terutama daripada Suku Kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
“Kaamatan hanyalah sebahagian daripada tradisi yang diturunkan daripada nenek moyang tetapi sekiranya ianya dilupakan maka umpamanya melupakan asal usul kita sebagai orang asal Sabah.
“Dalam penganjuran Kaamatan, tanpa sedar banyak kebaikan yang kita perolehi contohnya semangat perpaduan, kerjasama, dedikasi dan juga sifat saling menyokong antara satu sama lain.
“Daripada awal persediaan sehinggalah kepada hari sambutan iaitu pada hari ini daripada ahli jawatankuasa yang berbilang bangsa dan budaya, hanya untuk mencapai matlamat yang sama iaitu menyemarakkan serta memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini,” katanya.
James menambah, selaras dengan tema Kaamatan pada tahun ini iaitu “Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan”, maksud yang disampaikan melalui tema ini adalah sangat straight forward iaitu Pesta Kaamatan adalah pesta untuk semua masyarakat, tanpa mengira bangsa, agama atau budaya.
“Saya lihat daripada senarai ahli jawatankuasa, bukan sahaja terdiri kalangan “orang lama” tetapi banyak muka-muka baru terutama belia-belia turut menawarkan khidmat dan kepakaran dalam penganjuran Kaamatan Lahad Datu kali ini.
“Saya sangat merasa bangga dengan penglibatan golongan belia ini kerana merakalah yang akan meneruskan tradisi ini pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak lupa untuk mengetengahkan beberapa isu di daerah ini seperti isu berkaitan komuniti Palauh di kawasan Pantai Timur termasuklah Lahad Datu, isu banjir dan sebagainya.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil perhatian kepada keperluan pembangunan di daerah ini dan sentiasa mendengar keluhan daripada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira status fahaman politik.
“Sebenarnya terlalu banyak bantuan, program dan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan untuk dinikmati oleh masyarakat, namun untuk menghuraikan satu persatu mungkin akan mengambil masa yang panjang,” jelas beliau.



