Madius
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertingkatkan pembelian aset dan pembinaan makmal kesihatan di Sabah untuk mengelakkan keputusan ujian sampel Koronavirus (Covid-19) tertangguh.
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) berkata, Sabah menerima diantara 4,000 hingga 7,000 sampel sehari, namun kapasiti tiga makmal ujian Covid-19 peringkat Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) tidak mampu menampung.
“Kita hanya mampu mengendalikan 2,500 sampel sehari iaitu 2,000 sampel di Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, 400 sampel di Hospital Queen Elizabeth 1, dan 100 sampel di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Sampel selebihnya dihantar ke makmal-makmal di Semenanjung Malaysia dengan menggunakan penerbangan Angkatan Tentera DiRaja Udara Malaysia (TUDM),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Bajet 2021, di Sidang Dewan Rakyat, di sini.
“Sekiranya 50 peratus iaitu RM42.25 juta daripada RM85.5 Peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) diberikan kepada Sabah ia mencukupi untuk perolehan aset untuk uji kaji kuman Covid-19 yang dianggarkan RM10 juta satu peralatan.
“Dan tentunya boleh membantu menyelesaikan masalah penggunaan pesawat TUDM untuk menghantar sampel daripada Sabah ke Semenanjung setiap hari,” katanya.
Madius turut memaklumkan bahawa penggerak utama ekonomi Sabah ialah sektor pelancongan. Oleh itu katanya, keupayaan melaksanakan ujikaji Covid dengan pantas, cepat dan tepat sangat kritikal untuk pemulihan sektor tersebut.
“Saya difahamkan pada ketika ini, pihak Jabatan Kesihatan lebih menumpukan perhatian dalam perolehan peralatan consumable seperti PPE dan sebagainya.
“Minta RM5 juta dia bagi RM10 juta tetapi tidak pula memberi keutamaan dalam pemberian peruntukan pembelian aset seperti kelengkapan dan pembinaan makmal dan pengambilan kakitangan professional secara kontrak untuk Sabah,” ujarnya yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresit Bersatu (UPKO).
Tamat