CENDERAMATA…Japlin (empat dari kiri) menerima cenderamata daripada Muhd Arziz (empat dari kanan)
TUARAN : Pertandingan Ratu Serimpak dapat menonjolkan keindahan busana tradisional dan nilai-nilai budaya warisan suku kaum Bajausama yang perlu terus dipertahankan.
Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS), Datuk Japlin Akim berkata, pertandingan itu bukan sekadar pertandingan pakaian atau kecantikan semata-mata tetapi berfungsi sebagai platform memperkasakan wanita Bajausama yang berilmu, berketerampilan dan memahami nilai adat serta tradisi nenek moyang.
“Penilaian bukan hanya dilakukan pada malam pertandingan ini sahaja, tetapi bermula sejak hari pertama kehadiran peserta.
“Mereka telah mengikuti pelbagai aktiviti seperti bengkel budaya, sesi taklimat dan penglibatan dalam acara tradisional.

Peserta Ratu Serimpak memperagakan busana tradisi suku kaum Bajausama.
“Ini membolehkan juri menilai secara menyeluruh aspek personaliti, pengetahuan budaya serta komitmen peserta terhadap warisan Bajausama,” katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir Ratu Serimpak sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di sini, pada Jumaat.
Japlin menambah, pertandingan itu lebih besar daripada sekadar pentas pertunjukan.
“Ia adalah medan mencari duta budaya yang boleh membawa identiti kita ke dunia luar, memelihara akar warisan serta menyemarakkan semula semangat generasi muda untuk terus mengenali siapa diri mereka sebagai orang Bajausama,” ujarnya.
Seramai 20 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang telah bermula sejak 6 Ogos lalu.
Keputusan pertandingan akhir Ratu Serimpak akan diumumkan pada hari kemuncak festival, Ahad ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung PRBSS, Datuk Kassim Razali dan Pengerusi Pertandingan Ratu Serimpak 2025, Muhd Arziz Afizy Rumsani. /PENERANGAN