Mohd Rafi bersalaman dengan perwakilan yang hadir pada persidangan tersebut
LABUAN: Persidangan UMNO Bahagian Labuan yang dihadiri lebih 1200 ahli perwakilan merangkumi Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan veteran menjadi wadah memartabatkan UMNO sebagai sebuah parti pembela rakyat akar umbi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, perhimpunan tersebut telah berjaya dimanfaat sepenuhnya sebagai wadah memartabatkan UMNO sebuah parti yang mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, persidangan kali ini bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan parti, tetapi juga menjadi platform dalam menghimpunkan pandangan akar umbi demi memastikan suara rakyat terus diperjuangkan.
“Persidangan kali ini menyaksikam setiap perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan membangkitkan pelbagai isu yang sedang membelenggu kehidupan rakyat Labuan”, katanya ketika ditemui media selepas merasmikan persidangan serentak UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Wanita di Dewan Serbaguna Perbadanan Lanuan pda Ahad.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, berkata, pelbagai isu telah dibawa ke pentas perbahasan termasuk tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi rakyat khususnya golongan muda, pendidikan, kemudahan kesihatan, infrastruktur serta masa depan generasi muda Labuan.
“Inilah fungsi sebenar UMNO. Kita bukan sekadar berhimpun untuk berpolitik, tetapi berhimpun untuk membawa suara rakyat kepada pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu beliau turut menegaskan beberapa perkara untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan terutamanya yang membabitkan kehidupan rakyat Labuan yang tersepit denga kos sara hidup yang semakin meningkat.
Dalam waktu yang sama beliau mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pemberian subsidi kos pengangkutan khusus bagi penghantaran barang keperluan asas dari tanah besar Sabah ke Labuan menggunakan perkhidmatan feri.
Mohd Rafi berkata realitinya hampir semua barang yang dibawa masuk ke Labuan menanggung kos pengangkutan tambahan yang akhirnya pengguna menjadi beban untuk membayar lebih mahal berbanding di Sabah dan Semenanjung Malaysia
Selain itu beliau juga mahu status Labuan sebagai hab pendidikan direalisasikan dengan mewujudkan sebuah universiti teknikal yang berstatus antarabangsa bagi memberi peluang pelajar pelajar di Kolej Vokasional, Kolej Adtec Labuan mahupun pelajar di Kolej Matrikulasi Labuan meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
“Keperluan sebuah universiti teknikal di Labuan sering disuarakan bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang selari dengan industri utama pulau ini seperti minyak dan gas (O&G), perkapalan, dan industri maritim.
Beliau juga mahu kerajaan lebih adil dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan bagi menyelamatkan nyawa.
‘Jika Langkawi diberikan kemudahan perkhidmatan Air Ambulan untuk mempercepat pemindahan pesakit kritikal dari pulau itu ke hospital di tanah besar. Labuan juga memerlukan perkhidmatan yang sama bagi membolehkan pesakit kritikal di hantar ke Kota Kinabalu dengan lebih cepat berbanding sebelum ini menggunakan feri yang memakan masa yang panjang.
“Rakyat Labuan tidak meminta sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya mahukan hak mereka dipenuhi, pembangunan yang adil serta penyelesaian segera terhadap pelbagai masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama”, ujarnya.
Mohd Rafi turut menegaskan bahawa UMNO Labuan akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat tanpa mengira kedudukan parti sama ada berada dalam kerajaan mahupun sebagai pembangkang.
“Perjuangan kami tidak akan terhenti selagi masih ada rakyat yang memerlukan pembelaan. UMNO akan terus komited membawa aspirasi rakyat dan memastikan setiap denyut nadi masyarakat didengari oleh pihak berkepentingan,” katanya.



