Kenangan…….Musbah, Japlin dan Kassim bergambar kenangan bersama Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah di Istana Negeri Sabah kelmarin.
KOTA KINABALU: Persatuan Rumpun Bajausama Sabah telah melakukan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah di Istana Negeri Kota Kinabalu semalam.
Rombongan itu diketuai Timbalan Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Datuk Musbah Jamli, Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Datuk Japlin Akim; Setiausaha Agung Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Datuk Kassim Razali serta ahli majlis tertinggi.
Japlin memberitahu kunjungan itu adalah untuk mengundang Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah sebagai tetamu kehormat program Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2025 pada 10 Ogos yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Mohd Noor.
Tambah beliau Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025 bakal berlangsung dengan penuh warna-warni budaya dan kesatuan rakyat Sabah selama empat hari bermula 7 Ogos hingga 10 Ogos 2025 bertempat di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Menurutnya festival ini akan menjadi platform pemerkasaan warisan, selain mengukuhkan perpaduan antara kaum dan etnik di negeri ini.
“Festival ini akan mengetengahkan kekayaan budaya, adat resam dan tradisi masyarakat Bajau Sama yang unik dan menarik. Ia juga selaras dengan usaha untuk mempromosikan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa,” ujar beliau.



