26 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 18, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

PERSATUAN MASYARAKAT BRUNEI SABAH SUSUN PELBAGAI PROGRAM SEPANJANG TAHUN 2026

SEBELUM MESYUARAT… Datuk Dr Hj Mohd Arifin ( duduk tengah) bersama dari kiri Datuk Hj Ag Buhtamam, Datuk Hj Ahmad Shah,Pg Japar, Datuk Pg Saifuddin, Norhasan dan Haji Mohd Amin.Barisan belakang: Puan Nismah Hj Kanak, Datuk Hj Sapdin Ibrahim, Haji Latip Osman,Datuk Dr Saat Hj Ag Damit, Haji Ahmad Yakob, Ag Kassim Hj Ismail, Hj Ag Damit Pg Abd Razak, Pg Allyuddin Pg Ahmad Tajuddin, Hj Liman Hj Yusof dan Hj Saidin Hj Ibrahim.

KOTA KINABALU: Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) Pusat menyusun pelbagai program untuk dilaksanakan sepanjang Tahun 2026 ini.

Antara aktiviti itu ialah Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk Pengesahan Penyata Kewangan Untuk 2023, 2024 dan 2025 yang dikehendaki oleh Pejabat Pendaftaran Pertubuhan ( ROS) Sabah.

Penyata Kewangan yang sudah diaudit oleh firma yang bertauliah ini dibentangkan dalam mesyuarat PMBS pertama oleh Bendahari Agung,Datuk Haji Ag Buhtamam Haji Ag Mahmon dan dipersetujui oleh AJP.

Setiausaha Agung PMBS, Norhasan Haji Ismail berkata EGM itu akan diadakan Minggu Pertama Ramadan 2026.

“PMBS dijangka mengadakan EGM ini di Ria Hotel dan ianya akan dijalankan serentak dengan Majlis Berbuka Puasa”, katanya selepas Mesyuarat Pertama Ahli Jawatankuasa Pusat PMBS di Pusat Latihan Sadafiat di Metro Town pada Khamis.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden PMBS, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Arif yang juga Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden, Datuk Haji Pengiran Saifuddin Haji Pengiran Tahir, yang juga Wakil Rakyat baharu Pantai Manis, Naib Presiden 1, Haji Pengiran Japar Haji Pengiran Osman, Naib Presiden 2, Datuk Haji Ahmad Shah Mohd Talib, Bendahari Agung, Datuk Haji Buhtamam Haji Ag Mahmon, Ketua Penerangan, Haji Mohd Amin Haji Muin dan hampir semua AJP Pusat.

Untuk aktiviti Mac 2026 kata Norhassan, PMBS akan mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Saadah, Wisma Muis Kota Kinabalu.

Beliau berkata PMBS juga akan mengadakan Mesyuarat Agung dijadualkan pada Mei tahun ini untuk Sesi 2026-2028.

PENGERUSIKAN MESYUARAT…Mohd Arifin ketika memulakan mesyuarat.Turut kelihatan Pg Saifuddin, Hj Ahmad Shah dan Hj Pg Japar.

” Untuk AGM tahun ini, kita akan mengadakan pemilihan AJP baharu dan semua jawatan yang dipertandingkan akan dibuka untuk pencalonan kepada semua ahli-ahli PMBS seluruh Sabah,” tambahnya.

Dari itu kata Norhasan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan-Cawangan perlu diadakan pada bulan April 2026. Cawangan-Cawangan juga akan membuat pemilihan.

Buat masa ini kata beliau terdapat 30 cawangan yang berdaftar dan satu cawangan masih menunggu pembentukkan AJK Cawangannya.

“Kita berharap semua cawangan mengadakan mesyuarat dalam tempoh yang ditetapkan untuk kelancaran AGM Pusat nanti,tegasnya.

Menurut Norhasan selepas AGM, aktiviti lain PMBS akan menyusul iaitu Pesta Ambuyat Sabah 2026 atau Pesta Baurung-Urung dan antara pengisiannya Pertandingan Hidangan Ambuyat, Pertandingan Gambus, Pertandingan Kulintangan dan Sumbangan Pelajar Cemerlang untuk anak-anak etnik Brunei Sabah yang cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025.

Beliau berkata dalam mesyuarat itu Presiden meminta Pengerusi dan AJK Pertandingan Hidangan Ambuyat, Gambus dan Kulintangan memberikan tumpuan kepada generasi muda, agar mereka boleh mewarisi makanan dan kebudayaan tradisi masyarakat Brunei ini.

” Presiden juga mahukan bilangan penerima Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2025 ditambah agar lebih ramai yang menerima manfaat sumbangan dari Yayasan Dangsanak Sabah ( YDS) ini.

Tahun lalu seramai 100 orang pelajar cemerlang menerima insentif tunai ini antara RM300 hingga RM500 dan ia adalah kali kedua sejak YDS ditubuhkan tiga tahun lalu.

Mohd Arifin dalam ucapan penutupannya meminta AJP Pusat untuk terus memikirkan kegiatan yang boleh menyumbang ekonomi, pendidikan dan kebajikan etnik Brunei di negeri ini.

Dalam mesyuarat itu, Mohd Arifin juga merakamkan penghargaan kepada YDS yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Shah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya ( CEO), Datuk Haji Sapdin Ibrahim yang juga Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) Malaysia kerana banyak menyumbang dana untuk aktiviti PMBS.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN