28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Perpaduan menuntut pelaksanaan secara reality: James

Datuk James bersama Datuk Armizan, menyempurnakan gimik perasmian


PAPAR: Perpaduan menuntut pelaksanaan secara realiti agar masyarakat kita terus menikmati keharmonian dan kemakmuran, kata Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Bin Ratib.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah, berkata, perpaduan menuntut pengorbanan yang sangat tinggi, Justeru usaha mencapai perpaduan merupakan suatu perjalanan yang jauh dan berliku.


“The quest for unity is a journey not a destination. Justeru kita semua mesti sentiasa membetulkan niat dan memperkasa usaha bersama untuk memastikan sabah kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya.


“Ini penting dijalankan, bukan sahaja untuk generasi masa kini, tetapi demi masa depan anak cucu kita nanti,” jelas beliau yang juga ADUN Sugut.


Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Masyarakat Papar pada hari Sabtu.


“Selaku Menteri KPMKR merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Bin Mohd. Ali kerana dapat bersama-sama dengan kita pada hari ini.


“Saya turut mengalu-alukan kehadiran semua masyarakat yang datang dari seluruh daerah di negeri sabah khususnya Ahli Rukun Tetangga.


“Terima kasih di atas komitmen padu dan kerjasama terbaik yang telah diberikan bersama seluruh agensi khususnya tuan Pegawai Daerah Papar, KRT, NGO serta komuniti dalam dan luar daerah Papar,” kata beliau.
Menurut James, Kementerian Perpaduan Negara telah menghasilkan kerangka perpaduan malaysia madani melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian.


Melalui kerangka ini, katanya, kembara perpaduan malaysia madani telah dijadikan flagship utama kementerian dalam mencapai perpaduan nasional.


“Program kita pada hari ini iaitu sambutan minggu perpaduan 2023 adalah merupakan inisiatif di bawah kluster semarak perpaduan yang bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebarluas pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat di Negeri Sabah khususnya,” katanya.


Sempena sambutan itu, pameran rumah yang terdiri dari pelbagai etnik seperti Rumah Rungus, Rumah Cina, Rumah India, Rumah Masyarakat Brunei, Rumah Bajau, Rumah Kadazan Dusun, Rumah Murut dan Rumah Bisaya juga diadakan.


Selain itu, pelbagai aktiviti menarik yang dapat memupuk keharmonian masyarakat melalui detik-detik perpaduan telah dan sedang dilaksanakan.


Sementara itu, James menambah bahawa tiga kluster utama Kembara Perpaduan Malaysia Madani adalah semarak kenegaraan, semarak perpaduan dan komuniti rahmah.


“Setiap kluster ini mempunyai tujuan utamanya iaitu memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat melalui usaha memartabatkan rukun negara, meraikan perbezaan dalam kepelbagaian.


“Ini dilakukan melalui elemen seperti kebudayaan, pendidikan dan rekreasi serta memberi pendekatan untuk memangkin kesejahteraan serta keharmonian komuniti meliputi aspek ekonomi, kesihatan, kenergaraan, kebudayaan dan alam sekitar.


“Melalui pelaksanaan program-program di bawah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional ini, saya ingin mengajak seluruh rakyat sabah agar kita mengenepikan perbezaan dan memperkukuhkan nilai-nilai permuafakatan bagi memperkasakan perpaduan nasional,” jelas beliau.


Selaku Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah, James mengharapkan agar negara Malaysia amnya dan Negeri Sabah khususnya terus makmur dan kekal kukuh sebagai negara dan negeri yang bersatu padu dan harmoni.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN