Jordan (tengah) menerima cenderamata daripada Luqman (dua dari kiri).
KOTA KINABALU : Perlindungan data peribadi perlu terus diberi perhatian serius bagi memastikan transformasi sektor kesihatan berlaku secara selamat, bertanggungjawab dan dipercayai rakyat.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, kemajuan teknologi, data dan inovasi kini menjadi pemacu utama perubahan dalam pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, namun ia perlu disokong dengan tadbir urus data yang baik, keselamatan maklumat yang kukuh serta perlindungan data peribadi yang berkesan.
“Kita sedang berada dalam satu era di mana teknologi, data dan inovasi menjadi pemacu utama kepada perubahan dalam hampir semua sektor, termasuk sektor penjagaan kesihatan.
“Namun, kemajuan digital ini perlu bergerak seiring dengan tadbir urus data yang baik, keselamatan maklumat yang kukuh dan perlindungan data peribadi yang berkesan.
“Data memainkan peranan besar dalam membantu pengamal kesihatan membuat keputusan lebih tepat, menambah baik operasi hospital, menyokong penyelidikan serta membantu perancangan dasar dan pembangunan inovasi baharu.
“Teknologi yang baik bukan hanya teknologi yang mampu memudahkan urusan, tetapi teknologi yang mampu melindungi kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Seminar PDPA Connect Sabah 2026: Towards A Smart & Safe Healthcare System di Dewan Bankuasi Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan yang seimbang, progresif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
“Sektor kesihatan mempunyai kedudukan penting kerana kesihatan rakyat merupakan asas kepada produktiviti, kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi negeri.
“Penggunaan teknologi seperti rekod kesihatan elektronik, sistem temu janji digital, perkhidmatan kesihatan jarak jauh dan analitik data membuka ruang besar untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” ujarnya.
James menambah, perlindungan data peribadi merupakan komponen penting dalam membina masa depan digital yang mampan.
Menurut beliau, pembinaan kepercayaan digital memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, pihak kawal selia, institusi kesihatan, universiti, industri, penyedia teknologi dan masyarakat.
Turut hadir ialah wakil Naib Canselor UMS, Luqman Ridha Anwar, Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Shariffah Rashidah Syed Othman dan Pengarah Hospital UMS, Profesor Madya Dr. Malehah Mohd Noh./Penerangan–



