KENANGAN…Datuk Flovia (berdiri tengah) bergambar bersama anak-anak yatim dan sebahagian tetamu jemputan yang hadir.
KENINGAU: Pengerusi Perkasa Hotel Holdings Sdn Bhd, Datuk Flovia Ng, menyantuni anak-anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa yang dianjurkan syarikat itu di sini sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
Flovia berkata penganjuran majlis tersebut bukan sekadar untuk berbuka puasa bersama, sebaliknya menjadi platform menyemai nilai kebersamaan, kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat, khususnya terhadap golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, bulan Ramadan membawa makna yang mendalam kerana mengingatkan masyarakat tentang kepentingan kesabaran, kesyukuran serta keprihatinan terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
“Walaupun saya bukan beragama Islam, saya amat menghormati dan menghargai keindahan bulan Ramadan yang membawa mesej kesederhanaan, kesyukuran serta keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.
“Ramadan bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi juga memperkukuhkan nilai kemanusiaan, empati serta semangat saling membantu antara satu sama lain,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini hari ini.
Beliau berkata Perkasa Hotel Holdings Sdn Bhd berbesar hati dapat bersama-sama menganjurkan program tersebut sebagai tanda komitmen syarikat dalam menyumbang kembali kepada masyarakat, khususnya kepada anak-anak yatim.
Flovia turut berharap program seumpama itu dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak yang diraikan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak penganjur, tetamu jemputan dan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa nilai sesebuah masyarakat bukan hanya diukur melalui tahap kemajuan atau kekayaan, tetapi melalui sejauh mana masyarakat mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan.
“Kepada anak-anak yang hadir pada petang ini, ketahuilah bahawa kalian tidak bersendirian. Ramai yang sentiasa mengambil berat dan sentiasa mendoakan agar kalian membesar dengan penuh harapan, kekuatan serta kejayaan pada masa hadapan,” katanya.
Sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2026, majlis ini turut diraikan bersama bagi menghargai peranan dan sumbangan golongan wanita dalam masyarakat.
Dalam masa yang sama, ucapan Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia turut dizahirkan kepada seluruh wanita atas dedikasi, pengorbanan serta peranan penting mereka dalam pembangunan keluarga, komuniti dan negara.
Turut hadir memeriahkan majlis, YM Tengku Datin Adlina Marita Tengku Adlin .Datin Doris Joprit dan Datin Saimah @Helen Ginsu..



