Sebahagian panorama sungai belum tercemar berhampiran bekas Kg.Nimbalai Ranau.
RANAU: Kawasan perkampungan lama Kg.Nimbalai di sini, yang sudah lama ditinggalkan tetapi masih tercatat dalam peta daerah Ranau, berpotensi untuk dijadikan lokasi pelancongan unik di daerah berkenaan kerana kawasan itu juga kini lubuk pelbagai spesis haiwan.
Namun, lokasi yang dianggarkan seluas seribu ekar itu, bagaimanapun perlu dijadikan kawasan larangan memburu binatang dan mengambil kayu-kayan bagi menjaga spesis haiwan daripada pupus akibat kerakusan para pemburu haram.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang mengadakan lawatan santai ke lokasi tidak jauh dari bekas perkampungan Kg.Nimbalai itu baru-baru ini, menyarankan kepada Jabatan Perhutanan dan WHO agar dapat membantu untuk memastikan kawasan itu dipulihara sebaiknya sebagai kawasan “Payau’ dan binatang lain berkembang-biak dan tidak pupus demi generasi akan datang.

Datuk Jonathan merakam gambar berlatar-belakangkan sungai yang belum tercemar.
“Saya amat bersetuju dan menyokong penuh kawasan tersebut dijadikan lokasi pelancongan baharu memandangkan di kawasan itu punyai daya tarikan yang menarik termasuklah dua kawasan gua sarang burung dan formasi belahan batu sungai kiri dan kanan yang tinggi menyaksikan laluan air sempit dan juga air terjun menjadikan ia lebih menarik dan sesuai dijadikan lokasi riadah,” tambah Datuk Jonathan sambil menyifatkan kawasan perkampungan lama itu sebagai ‘The Lost World Of Nimbalai’.