Anggota PDRM IPD Ranau bersama anggota SRS/KRT Kg Lohan 1 semasa perjumpaan dan rondaan kolaborasi itu
RANAU: Dalam memperkukuhkan kerjasama antara PDRM dan komuniti kampung dalam usaha pencegahan jenayah, satu perjumpaan dan rondaan kolaborasi telah diadakan di Kg Lohan 1, Ranau Isnin lepas.
Program di antara pihak Polis dari IPD Ranau bersama pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Lohan 1, Ranau berjalan dengan jayanya.
Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuhkan kerjasama antara PDRM dan komuniti kampung dalam usaha pencegahan jenayah serta mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua-dua pihak.
Sesi perjumpaaan dan rondaan ini telah mendapat maklum balas yang amat positif dan menjadi bukti bahawa penglibatan komuniti mampu menyumbang kepada keselamatan kawasan masing-masing.
Perjumpaan dan rondaan ini diadakan sekitar jam 09.45 malam telah dihadiri oleh Inspektor Jamin Anak Jembat (Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Ranau) bersama anggota iaitu Koperal Jahuddin Jukimin (Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti IPD Ranau), Koperal Hajiri bin Wasidi (Pondok Polis Lohan) dan Koperal/SP Shairi bin Ahmad (Anggota Sukarelawan Polis IPD Ranau)
Turut hadir dari pihak kampung ialah Pengerusi SRS/KRT Kg Lohan 1, Ismardy bin Kamil, AJK Keselamatan Komuniti Kg Lohan 1, Jupirin Somoring, Pengerusi Masjid Kampung, Rusining bin Rusidi, dan enam orang ahli SRS/KRT kampung itu.
Pihak IPD Ranau mengucapkan terima kasih atas sambutan dan kerjasama daripada masyarakat Kg Lohan 1.
Sementara itu, pada hari Khamis, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dari IPD Ranau telah mengadakan lawatan rasmi ke SK Narawang, Ranau bagi memperkukuhkan hubungan antara PDRM dan warga sekolah.
Lawatan ini diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Ediansha Endal, bersama Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Inspektor Jamin Anak Jembat serta beberapa pegawai dan anggota PDRM.
Ketibaan rombongan telah disambut mesra oleh Guru Besar, Jafri Rudih, barisan pentadbir sekolah, para guru serta murid-murid. Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau merangkap Pegawai Angkat SK Narawang, Roslinah Apin.
Lawatan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara PDRM dan warga sekolah, membincangkan isu disiplin pelajar serta aspek keselamatan sekolah, selain memberi nasihat tentang pematuhan SOP.
Perbincangan juga melibatkan perancangan program-program yang akan datang demi kebaikan komuniti sekolah.
Menambah seri lawatan, pasukan PDRM turut berpeluang menyertai Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah yang berlangsung penuh harmoni.
Majlis ini menjadi ruang terbaik menyemai nilai perpaduan, menghormati kepelbagaian serta memupuk semangat Malaysia Madani.
PDRM merakamkan penghargaan atas kerjasama erat yang diberikan oleh warga SK Narawang dan akan terus komited dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.