Gambar : BAKUL MAKANAN… Dr Fary (tiga dari kanan) bersama 1,000 bakul makanan yang sedia untuk diagihkan
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Perbadanan Labuan telah menyediakan 1,000 bakul makanan untuk diberikan kepada golongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada Rabu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman menjelaskan sumbangan bakul makanan merupakan makanan asas yang menjadi keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan makanan dalam tin yang akan diberikan kepada golongan B40 yang terjejas semasa pelaksanaan PKP 3.0.
Sementara itu golongan yang diarah menjalani kuarantin juga akan menerima Kit Makanan secara one off. Agihan akan dibuat secara bersasar kepada keluarga yang dikuarantin.
“Inisiatif ini merupakan tindakan susulan daripada Mesyuarat Khas bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang diadakan pada Selasa” katanya di sini.
Sementara itu, agihan sumbangan Bakul Makanan itu akan diselaraskan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Labuan.