LABUAN: Perbadanan Labuan akan menganjurkan semula Borneo Arts Festival (BAF) 2022 yang akan diadakan di Kompleks Ujana Kewangan, di sini selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September ini.
Menurut kenyataan media daripada Perbadanan Labuan, BAF 2022 kali ini akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Tarian Kreatif Borneo, Pertandingan Tingkah Geruh (Battle), Pertandingan Fesyen (Busana Kreatif Nasional Kostum Malaysia).
Selain itu, terdapat juga pelbagai acara sampingan yang turut dijangka menarik perhatian pengunjung iaitu Ekspresi Seni yang dibawakan oleh Persatuan Seni Visual Labuan (LAVISTA), Persembahan Mukun Seborneo, Borneo Music Fusion 2022 yang akan menampilkan persembahan daripada kumpulan pemuzik daripada Perbadanan Putrajaya dan persembahan daripada gabungan kumpulan pemuzik Sabah, Sarawak dan Labuan,
Turut diadakan Lions International Peace Poster, Persembahan Brothahoodzz Island Project dan persembahan dari artis jemputan, Iman Troye. Selain itu,
BAF 2022 juga turut diserikan dengan persembahan tarian daripada kumpulan dan artis penari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pihak Kraftangan Malaysia turut tidak ketinggalan mengambil peluang mengadakan pameran dan demo kraftangan dan Industri Kecil Sederhana (IKS) Labuan, Sabah, Sarawak di Ruang Legar Anggerik, Ujana Kewangan.
Menariknya BAF tahun ini, LAVISTA akan mengadakan pameran seni visual, fotografi dan bazaar seni seperti Pertandingan Catan Batik Terbuka, Pertandingan Doodle Sekolah Menengah, Sembang Seni Selingan Persembahan Busker, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Pertandingan Doodle Terbuka, Pertandingan Fesyen Kitar Semula Kategori Kanak-Kanak, Deklamasi Puisi, Pertandingan Fesyen Kitar Semula Kategori Remaja Dan Pertandingan Seni Henna.
Setelah 2 tahun BAF menyepi akibat pendemik Covid-19, kini BAF pada tahun 2022 ini dianjurkan semula dengan menawarkan hadiah kejohanan yang cukup besar bagi peringkat kebangsaan.
BAF merupakan pertandingan yang akan mengumpulkan penyertaan kumpulan-kumpulan daripada luar Labuan yang melibatkan pelbagai lapisan peringkat umur terutamanya daripada tanah Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan tidak ketinggalan Semenanjung, Malaysia serta terdapat juga penyertaan dari negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina. Secara tidak langsung, acara ini telah memenuhi penyertaan daripada negara anggota BIMP EAGA iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina.
Objektif daripada penganjuran program BAF ini adalah untuk memberi peluang kepada persatuan, pelajar sekolah dan institusi dalam menyerlahkan kehebatan mereka dalam nilai-nilai kesenian dan kreativiti koreografer dalam menghasilkan gerak tari dan rekaan busana. BAF turut memberi peluang untuk mewujudkan kelestarian dan semangat kesenian dalam setiap acara dan seterusnya menyemarakkan lagi aktiviti kebudayaan dan kesenian.
Para pengunjung boleh membeli tiket di booth urus setia Pentas Anggerik, Ujana Kewangan bermula jam 2.00 petang (Jumaat) dan jam 8.00 pagi (Sabtu dan Ahad). Harga tiket masuk ke program Malam Apresiasi dan Majlis Penutupan sempena Borneo Arts Festival 2022 ialah RM5 seorang dan RM35 seorang (Hot Seat + T-shirt). Manakala tiket masuk ke acara-acara lain ialah RM3 seorang.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Perbadanan Labuan di talian 087-408744/ 746 atau layari akaun Facebook Perbadanan Labuan dan Labuan Tourism. Pengisian acara BAF 2022 boleh dirujuk di lampiran yang disediakan.



