30 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PENJAJA PASAR MALAM DISARAN BERI KERJASAMA KEPADA MDR JAYAKAN SIFAR SAMPAH

Duduk dari kanan: Harry George, Albert, Jupirin  (berucap ) dan Elmer.

RANAU: Para penjaja Pasar Malam pekan di sini, disaran supaya  memberi sokongan dan kerjasama padu kepada Majlis Daerah (MDR) mewujudkan sifar  (‘0’) sampah di pekan Ranau terutama kawasan tapak Pasar Malam di pekan berkenaan.

Pegawai Eksekutif MDR, Jupirin Bin Haji Ruhimin memberitahu,  pihak MDR memandang serius  berhubung kebersihan tapak pasar malam dan sekitarnya bagi mengelakkan sesuatu  penyakit berjangkit yang timbul berikutan keadaan  persekitaran yang kotor.

Beliau menegaskan dalam masa terdekat pihak MDR mengajak para penjaja Pasar Malam daerah itu untuk menjalankan satu gotong-royong dengan cara mengutip sampah kawasan pekan memberi contoh kepadaa masyarakat (warga pekan) terhadap tanggungjawab memastikan persekitaran sentiasa bersih.

“Usaha kita yang kedua ialah akan bersama dengan Rela, Penguat-kuasa MDR dan PDRM memberikan teguran secara berhema kepada mereka yang didapati membuang sampah di merata tempat dan ketiga mengenakan tindakan  menjalani Khidmat Masyarakat seterusnya kompoun yang sesuai selaras dengan undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan”, tegas Jupirin ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan ringkasnya kepada lebih 30 orang penjaja Pasar Malam pekan Ranau di Dewan Masyarakat daerah itu petang tadi.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Kundasang, Sahidin Bin Suhaimin yang  juga  menghadiri taklimat tersebut, ketika di minta memberi respon terhadap cadangan  MDR menaiktaraf Tapak Pasar Malam pekan Ranau supaya dipasang bumbung, menyifatkan  sebagai suatu yang positif untuk memberi keselesaan  kepada  para penjaja yang majoritinya warga tempatan dan mengharapkan usaha itu akan menjadi suatu yang  realiti menggantikan khemah-khemah penjaja (milik sendiri) yang agak tidak teratur, menjijikkan mata memandang

“Kita mengharapkan rancangan itu menjadi satu kenyataan usaha kerajaan membela nasib penjaja tempatan untuk menyara hidup keluarga mereka”, jelas  Sahidin sambil mengharapkan inisiaf menaiktaraf pasar malam berbumbung itu juga dapat dilaksanakan di  pasar malam Pekan Kundasang  pada masa akan datang sesuai dengan kawasan itu lokasi pelancongan terkenal di Malaysia malah peringkat antarabangsa

Jupirin menambah budaya ‘Cintakan Kebersihan’ perlu disematkan dalam hati setiap orang bukan sahaja kepada penjaja sebaliknya  semua orang termasuk para pengunjung Pasar Malam pekan Ranau.

“Pihak MDR selepas.ini memohon kepada setiap penjaja di tapak pasar malam  akan menyediakan tong sampah sendiri untuk kemudahan setiap penjaja dan orang ramai membuang sampah seperti kertas, tin kosong, botol kosong, plastik, sisa sayuran atau buah-buahan dan sebagainya”, tambah Jupirin.

Hadir menyampaikan taklimat kepada para penjaja ialah, Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Ranau,  Harry George dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDR, Juelber Albert manakala hadir sama ialah, Penolong Pegawai Tadbir MDR, Elmer Endra M.Sator. 

               

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN