Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Mantan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman hari ini menzahirkan rasa kebimbangan apabila melihat angka jangkitan Kes COVID 19 kian meningkat di pulau ini.
Malah katanya, kes kematian yang saban hari turut dilaporkan juga turut membimbangkan.
Justeru, beliau yang juga Ketua Parti BERSATU Bahagian Labuan menyeru agar komuniti di pulau ini terus mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu seperti yang disarankan oleh kerajaan.
“Rakyat perlu menyedari dengan jumlah kes jangkitan COVID yang terus meningkat dari hari ke hari itu adalah sesuatu yang menakutkan dan mengerunkan”
“Tolonglah patuh kepada SOP dan mengamalkan norma baharu seperti yang ditegaskan oleh kerajaan… janganlah keluar rumah jika tiada keperluan…disiplinkan diri sepanjang tempoh PKPD ini dilaksanakan.
“Kesihani lah petugas frontliners yang bertugas bertungkus lumus setiap masa ” katanya disini.
Jelas Suhaili Labuan yang hanya mempunyai penduduk sekitar 100,000 sepatutnya mampu memutuskan rantaian COVID 19 lebih awal sekiranya warga Labuan mengutamakan disiplin yang tinggi seperti apa yang dilakukan oleh negara jiran Brunei Darusalam yang hari ini sudahpun bebas daripada COVID 19.
Sementara itu dalam hantaran di Facebooknya, beliau mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar mempercepatkan Pusat Pemberian Vaksin Swasta General Ptactitioner (PPVGP) tanpa menunggu sehingga bulan Ogos ini.
“Di Labuan terdapat 12 Klinik Swasta yang boleh dijadikan PPVGP dan kenapa kita perlu menunggu sehingga Ogos” katanya.
Beliau juga turut menyarankan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) agar melakukan sesuatu yang terbaik untuk warga Labuan dengan mempercepatkan pelaksanaan PPV di klinik klinik Swasta seperti yang dilakukan oleh Kelantan.
“Saya yakin jika ini dapat dilakukan menjelang Ogos 2021 kalau tidak 100 peratus sekurang kurangnya 90 peratus warga Labuan sudah mendapat vaksin” tulisnya.
Untuk rekod semalam Labuan mencatatkan 209 kes positif baharu menjadikan jumlaj kes keseluruhan 4,961 kes, selain merekodkan 2 kes kematian.