25.5 C
Kota Kinabalu
Isnin, Julai 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Peniaga kecil dan sederhana perlu ubah cara berniaga

Dr. RICKY CHIA

LABUAN – Peniaga kecil dan sederhana (PKS) perlu mengubah cara perniagaan mereka daripada tradisional kepada dalam talian mengikut peredaran masa dan zaman.

Pensyarah Kanan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr Ricky Chia Chee Jiun berharap mereka dapat meneruskan perniagaan dengan lancar walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 ketika ini.

“Saya berharap kerajaan akan terus melakukan lebih banyak inisiatif membantu PKS.

“Peniaga PKS akan berhadapan kesukaran jika mereka terus menggunakan kaedah tradisional,”katanya mengenai harapan Tahun Baharu 2021.

Selain itu, Dr Ricky menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak  berebut-rebut untuk mendapatkan vaksin.

Katanya, rakyat seharusnya memberikan peluang terlebih dahulu kepada barisan hadapan dan warga emas yang lebih memerlukan.

Mengenai ekonomi Labuan pula, beliau berharap hasrat kerajaan untuk membina jambatan yang menghubungkan Wilayah Persekutuan Labuan dengan Sabah akan menjadi kenyataan kerana ia mampu memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi Labuan dan kawasan berhampiran.

“Sudah tentu dengan adanya jambatan, ekonomi Labuan pasti akan meningkat dan berkembang. Begitu juga dengan kawasan yang berhampiran di Sabah,”katanya.

Pada masa sama, beliau juga menaruh keyakinan pada Tahun Baharu 2021 ini kerajaan akan menyediakan lebih banyak kemudahan dari segi kesihatan terutamanya di hospital untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau memberi contoh ujian swab COVID-19 dari Labuan terpaksa dihantar ke Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu untuk mendapatkan keputusan.

“Jika hospital di Labuan memiliki lebih banyak kemudahan yang moden seperti makmal sendiri, saya yakin ianya memberikan kesenangan kepada rakyat,”katanya.

ZUNIKA AMBOH TURUH

Sementara itu, seorang guru, Zunika Amboh Turuh mahu kerajaan lebih prihatin terhadap nasib rakyat terutama golongan B40 dan M40 untuk meneruskan kelangsungan hidup yang semakin mencabar ketika ini.

Beliau berharap kerajaan dapat memulihkan dan meningkatkan keadaan ekonomi yang dilihat sukar terutama ketika berhadapan COVID-19.

 “Saya berharap kerajaan dapat memulih dan meningkatkan ekonomi negara supaya kehidupan dan ekonomi negara kembali normal seperti biasa.

“Dengan adanya ekonomi yang mantap, kehidupan rakyat lebih stabil untuk menyara,”katanya.

Mengenai projek pembangunan, Zunika berharap kerajaan akan meneruskan projek yang terbengkalai seperti jalan raya, kemudahan asas seperti air dan elektrik yang masih lagi membelenggu rakyat khususnya di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Kemudahan untuk rakyat ini seharusnya diselesaikan dan diberi keutamaan oleh kerajaan,”katanya.

Zunika juga berharap rakyat terus menjaga perpaduan dan keamanan dengan mengamalkan nilai-nilai hidup yang baik dan harmoni seperti mengelakkan bersengketa di media sosial yang mampu menjejaskan perpaduan, agama dan keharmonian kaum.

“Kita perlu bijak menggunakan media sosial untuk kebaikan dan mengelakkan wujudnya sentimen perkauman dan keagamaan.

“Elakkan perpecahan dan perbalahan yang hanya merugikan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Rakyat perlu bersama-sama kerajaan menangani dan menyelesaikan apa jua cabaran dan dugaan serta halangan,”katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN