LABUAN: Seramai 78 pengusaha teksi di pulau bebas cukai ini menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan Labuan akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.
Pengerusi Persatuan Teksi Wilayah Persekutuan Lanbuan, Haji Mohd Ismail Abdul Rahman (gambar) berkata, pengumumam itu sekaligus membolehkan mereka kembali beroperasi seperti biasa selepas mereka hampir hilang sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac tahun lalu.
“Akibat daripada PKP yang berpanjangan itu menyebabkan ramai pengusaha teksi terpaksa beralih ke bidang lain demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Sekarang ini, hanya 78 pengusaha teksi yang masih bertahan, dan peralihan ke Fasa 4 termasuk PPN fasa 3 yang diumumkan sebelum ini bagaikan memberi nafas baharu kepada kami,” katanya di sini, kelmarin.
Beliau berharap kebenaran untuk semua sektor ekonomi kembali beroperasi akan membolehkan permintaan terhadap perkhidmatan teksi kembali meningkat.
“Kami harap momentum ini berkekalan, dan semakin meningkat, serentak dengan kebenaran merentas daerah atau negeri untuk individu yang telah melengkapkan dos vaksin masing-masing,” katanya.
Ketiadaan pelancong juga katanya, antara faktor sumber pendapatan pengusaha teksi menurun dengan mendadak, namun kebenaran untuk sektor pelancongan beroperasi semula dijangka sedikit sebanyak akan memulihkan industri pengangkutan teksi bernafas semula.
“Permintaan penumpang tempatan terhadap teksi amat kurang kerana pandemik COVID-19, apatah lagi kami turut berdepan saingan perkhidmatan e-hailing.
“Kami sebagai pengusaha teksi mengharapkan agar kemasukan pelancong ke pulau ini kembali rancak dan permintaan pelanggan pulih seperti biasa,” katanya.