26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Jun 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PENGURUSAN SEKTOR PENDIDIKAN NEGARA – CABARAN BERTALI ARUS

Rasid Mail

Pendidikan individu bermula dari dalam rahim ibu sehingga ke liang lahad. Ibu bapa dituntut melakukan amalan baik agar anak dalam kandungan mengikutinya kelak, manakala talkin dibacakan di majlis pengkebumian untuk memberi peringatan kepada yang masih hidup, walaupun seolah-olah pesanan itu adalah ditujukan kepada simati.

Begitulah kitaran hidup manusia yang tidak terpisah dari proses pembelajaran. Dalam konteks moden, pendidikan dikaitkan dengan kelestarian, survival, daya saing, pembangunan dan kemajuan. Dari perspektif kelestarian tamadun manusia pula pendidikan dilihat sebagai proses berterusan pembangunan minda manusia, masyarakat dan negara supaya lebih progresif dan terus relevan.

Dari perspektif yang lebih holistik, pendidikan merupakan pelantar membangun manusia dan kemanusiaan, melalui pengembangan potensi diri sesuai dengan keperluan masyarakat, negara bangsa dan alam sejagat, menepati fitrah manusia sebagai khalifah yang terpilih untuk mengimarahkan muka bumi. Hal ini juga bertepatan dengan alami manusia untuk beribadah kepada penciptanya.

Oleh yang demikian ekosistem pendidikan telah disediakan di negara ini oleh para pemuka masyarakat masa lampau. Mereka berpandangan jauh dan perihatin dengan potensi fitrah individu dan keperluan masyarakat, serta sedar akan tanggungjawab terhadap bangsa, agama dan negara. Maka wujudlah struktur dan sistem pendidikan dengan prasarana, dasar serta polisi. Penggubalan Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui Ordinan Pelajaran 1957 menunjukkan kepentingan pandangan jauh pemimpin terdahulu terhadap keperluan pendidian di negara ini.

Seiring dengan perubahan persekitaran dan peredaran masa, perlaksanaan dasar ini mengalami perubahan pesat, tetapi masih kekal berpaksikan matlamat asal, iaitu keperluan pembangunan potensi insan dan masyarakat, membina negara bangsa serta memenuhi tuntutan fitrah manusia dan alam sejagat. Untuk kekal relevan kerajaan terus memperbaharui spektrum perlaksanaan dasar ini dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif operasi untuk dilaksanakan di peringkat institusi dan organisasi.

Perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan menjadi semakin mencabar kebelakangan ini. Hambatan ekonomi, kekangan kapasiti, perkembangan teknologi, perubahan demografi, persaingan industri dan peningkatan jangkaan masyarakat menjadikan pengurusan pendidikan di negara ini semakin rumit. Di peringkat polisi dan dasar, kepentingan pendidikan tidak pernah dikesampingkan. Namun ketangkasan kerangka perancangan serta perlaksanaan polisi dan dasar menangani cabaran merupakan persoalan penting. Pemegang taruh dan pelaksana, seperti para ibubapa dan golongan pendidik, membangkitkan isu kesesuaian operasi. Umpamanya beban pengajaran dan pembelajaran, kapasiti pembiayaan, kemudahan fizikal, sistem sokongan untuk para pendidik dan program kemenjadian murid itu sendiri. Natijahnya dizahirkan dalam perdebatan berpanjangan mengenai bebanan guru dan murid, kemudahan usang, jurang teknologi, kesesuaian sukatan pelajaran, kewajaran sistem kualiti, kebitaraan sutuktur pentaksiran dan seumpamanya.

Rangkaian isu yang berlanjutan ini jika tidak ditangani akan menjejaskan lanskap pendidikan di negara ini. Dampak negatifnya bukan setakat pencapaian matlamat operasi, tetapi jauh menular membarah dalam usaha strategik membangun negara bangsa dalam jangka panjang. Keyakinan pemegang taruh kepada kredibiliti sistem dan struktur pendidikan ini akan menyusut. Justeru, ia perlu dilihat secara holistik, ditanggapi secara menyeluruh, supaya langkah konkrit dapat diambil, bukan bersifat sementara atau bermusim sahaja. Sikap lepas tangan, saling menuding jari, seperti lagu bangau oh bangau akan merugikan semua pihak, seolah-olah memperjudikan nasib generasi muda dan masa hadapan negara.

Memperkasa sistem pendidikan negara bukan retorik semata-mata. Pelaburan jangka panjang untuk ekuiti negara dan aset bangsa merupakan tuntutan agama, adalah menjadi tanggungjawab semua. Apatah lagi dengan agihan peruntukan belanjawan tahunan yang sangat signifikan. Ia bukan urusan mudah dan sambil lewa. Justeru Langkah bersepadu diperlukan di peringkat institusi untuk menangani keperluan ekosistem dan tuntutan strategik. Di peringkat institusi, isu ini perlu ditangani dengan melihat melalui sudut pandang pengurusan organisasi. Ada beberapa lapisan struktur perlu disantuni, bukan setakat usaha bersifat adhoc, hit-and-run, bermusim, dan baling batu sembunyi tangan.

Struktur ekosistem

Lapisan pertama adalah sub-sistem yang bersifat fizikal, yang merupakan struktur paling asas, paling ringkas dan mudah difahami. Komponen dalam struktur ini boleh dilihat dan boleh disentuh. Umpamanya bangunan, peralatan, dokumen, kakitangan, pelajar dan seumpamanya, yang merupakan komponen asas dalam struktur dan ekosistem. Selalunya banyak usaha, masa dan sumber kewangan diperuntukkan untuk menyedia, mengukuh dan membangunnya. Peruntukan belanjawan tahunan negara ini yang tinggi untuk sektor pedidikan sebahagian besarnya untuk maksud keperluan komponen ini.

Lapisan kedua adalah rekabentuk unggul. Ia merupakan struktur yang lebih abstrak sifatnya, boleh dilihat tetapi tidak boleh disentuh kerana tidak wujud dalam bentuk fizikal. Upamanya peraturan, perundangan, SOP, struktur dan carta organisasi, hirarki dan proses kerja. Lapisan ini disedari dan dirasai kewujudannya, tetapi bukan dalam bentuk fizikal. Dalam sektor pendidikan ia boleh dilihat dalam bentuk Akta Pendidikan, sistem pentaksiran murid, sistem kenaikan pangkat guru, peraturan sekolah, struktur glosari, carta organisasi sekolah atau jabatan dan seumpamanya.

Lapisan ketiga adalah budaya. Ia merupakan struktur yang lebih abstrak berbanding dua lapisan sebelumnya. Adanya boleh dirasa tetapi tidak boleh dilihat atau disentuh. Ia sering diterima dalam bentuk sambal lewa (taken for granted) berasimiliasi dengan pencirian individu, kelompok dan masyarakat. Umpamnya adab, amalan, adat-istiadat dan pantang larang yang sinonim dengan kaum tertentu. Di peringkat institusi dan organisasi usaha membudayakan amalan kerja dan seumpamanya agak mencabar disebabkan budaya terbentuk bukan dalam tempoh yang singkat, proses alami yang rumit, serta sokongan dua lapisan sebelumnya. Struktur ini lebih lestari sifatnya, tidak berubah sekerap dan semudah dua struktur sebelum ini. Dalam sektor pendidikan budaya membaca, cintakan ilmu, hormatkan guru, integrasi kaum dan sumpamanya antara yang biasa dikedepankan. Dalam Jabatan pendidikan pula struktur hirarki, jurang kuasa, formaliti dan senioriti sangat berbeza dengan organisasi lain.  

Lapisan keempat adalah misi dan kepercayaan. Struktur ini lebih abstrak dari tiga lapisan sebelumnya. Struktur in bukan sahaja tidak boleh dipegang, dilihat dan lebih sukar untuk dirasai tetapi juga sangat abstrak sehingga individu dan kelompok jarang mempersoalkannya. Ia dianggap sebati dalam struktur institusi atau organisasi. Umpamanya kaum Melayu yang sinonim dengan agama Islam, kaum Cina dengan perniagaan, universiti dengan pendidikan tinggi, politik dengan kuasa, dan seumpamanya. Struktur ini lebih rumit dan sukar untuk dibangunkan, lebih kukuh dan sukar untuk berubah berbanding tiga struktur sebelumnya. Dalam sektor pendidikan misi memertabatkan ilmu dan kepercayaan bahawa ilmu itu suatu kemestian sangat sukar ditanam ke akar umbi. Malah ia sering singgah sementara sebagai slogan, retorik dan lambang semata-mata, diangkat sekali-sekala semasa perayaan, majlis atau acara tertentu, hari guru, pembentangan belanjawan, dan kempen. Namun jika ia sudah bertapak dan sebati, akan menjadi sumber kelebihan dan kekuatan organisasi kerana ia lebih mapan berbanding lapsian sebelumnya. 

Lapisan terakhir merupakan sturutur paling abstrak dan alami dalam struktur organiasi, yang dinamakan peraturan meta (metarules). Istilah paradigma, ideologi, dan metafora juga diguna untuk menggambarkan komponen lapisan ini yang berfungsi sebagai DNA institusi dan organisasi. Ia terdiri daripada komponen yang mencirikan keunikan. Biasanya kewujudan dan bentuk struktur lapisan ini ditanggapi dengan bersahaja dan sambal lewa. Umpamanya pandangan dan penerimaan umum mengenai institusi pendidikan di negara ini, telah diterima sebagai sebahagian dari struktur sosial. Ia diperkukuhkan mengikut peredaran zama dengan perubahan persekitaran, namun kekal dalam aspek asas. Persoalan mengapa dan kenapa pendidikan harus wujud dan diuruskan merupakan persoalan asas yang tidak dicabar status quonya, diterima secara wewenang, ditanggapi sebagai hakikat, dipegang secara mudah tanpa ada persoalan mengenainya.        

Mengurus

Isu besar pengurusan sektor pendidikan negara pada hari ini adalah pendekatan jangka pendek, terbatas kepada lapisan luaran, bersifat reaktif, bermusim, kurang terkendali, dan berpendekatan ad-hoc. Keributan dan kemelut berkitar mengenai kemudahan fizikal, sumber kewangan, konflik organisasi, kebajikan pemberi dan penerima pendidikan, seolah-olah isu berpanjangan yang tidak berkesudahan. Isu-isu ini hanya berada dalam lingkungan lapisan sub-sistem yang tidak menjangkau persoalan dasar. Jika dibiarkan berterusan, isu-isu dasar yang menyentuh komponen dalam lapisan yang lebih abstrak akan terkesamping. Pengurus dan penyampai pendidikan akan semakin keliru dengan dasar yang silih berganti. Hatta ada kalanya dasar dan polisi mungkin berkonflik. Keadaan ini berisiko menjadikan para pengamal dalam sektor pendidikan lesu dan tidak bermotivasi dek tekanan yang kekaburan jalan penyelesaian. Isu-su bebanan kerja, tekanan perasaan, pilihan bersara awal, dan seumpamanya merupakan gejala yang merunsingkan.

Kecelaruan pandangan, pertembungan nilai komersil, pemberat ekonomi, desakan pasaran dan tekanan persekitaran yang lain di satu sisi, dan tuntutan fitrah ilmu dalam ekosistem pendidikan di sisi yang lain, merupakan cabaran dalam membentuk dasar dan polisi yang tangkas. Terlalu ghairah kepada penandarasan, sistem jaminan kualiti, penarafan global dan seumpamanya mungkin berisiko kepada pertimbangan asas dan soal dasar dalam pengurusan ekosistem pendidikan. Umpamanya pertembungan antara pandangan antara pejuang Bahasa Melayu dan pandangan pendokong globalisasi bahasa Inggeris dalam industri. Begitu juga ketirisan pengisian berbentuk citra dan budaya, seperti sastera dan kekayaan Bahasa, berbanding penekanan teknologi dan hambatan industri, jika tidak terkendali akan menjejaskan pembentukan jatidiri.

Sebagaimana yang dijelaskan dalam huraian lapisan struktur organisasi dan institusi pendidikan di atas, penggiat industri pendidikan di negara ini perlu memikirkan isu asas dan persoalan pokok yang mendasari cabaran mengurus sektor pendidikan negara. Bukan terbatas kepada isu fizikal di lapisan luar institusi dan organisasi pendidikan, tetapi megmabil kira juga struktur abstrak di lapisan dalam yang lebih mendasar dan lestari sifatnya. Semua pihak, dari pembuat dasar dan penggubal polisi, pelaksana sehingga kepada penerima perkhdmatan perlu berlapang dada dan bersifat terbuka. Masa hadapan pendidikan generasi muda tidak boleh diperjudikan sebagai alat politik semata-mata. Masa hadapan negara dan nasib generasi muda sangat bergantung kepada wibawa pengurusan sektor pendidikan di negara ini.                      

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN