26 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pengumuman kerjasama PH, BN tidak sewajarnya menggunakan kepala surat Sekretariat: Armizan

PAPAR : Pengumuman kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak sewajarnya menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kerana ia hanya melibatkan persefahaman antara dua gabungan parti.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan Ketua Sekretariat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Setiausaha Agung UMNO, dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah menimbulkan polemik politik yang tidak membina di Sabah, hingga mendapat respons daripada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

‘Keadaan terbabit menyebabkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan pengumuman berkenaan pada sidang media dalam lawatannya ke Tawau, baru-baru ini.

“Asyraf dan Saifuddin seharusnya teliti dalam tindakan mereka walaupun kedua pemimpin itu bebas mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili gabungan parti masing-masing

“Namun kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan hanya boleh diguna pakai sekiranya pendirian tersebut mewakili konsensus semua gabungan parti,” katanya kepada pada Malam Citra Tradisi #KPDNKITA di sini, pada Jumaat.

Pada 9 Mei lalu, Asyraf dan Saifuddin mengumumkan kerjasama BN dan PH untuk PRN Sabah dengan menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang turut memaparkan logo parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut mempersoalkan sama ada sekretariat terbabit boleh mengeluarkan kenyataan media rasmi tanpa merujuk kepada ahli-ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Adakah Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu berkaitan pilihan raya Sarawak kelak?

“Diharapkan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat melihat perkara ini supaya perkara serupa tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Menurutnya lagi, keputusan membentuk kerjasama politik adalah hak setiap parti, namun ia tidak wajar diumumkan menggunakan platform Kerajaan Perpaduan bagi kerjasama yang hanya melibatkan dua pihak.

Armizan juga berharap Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Fadillah Yusof dapat melihat perkara ini supaya perkara serupa tidak berulang pada masa depan.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN