25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pengorbanan pemimpin terdahulu wajar diberikan penghargaan tertinggi, diteladani.

Kong Soon Choi @ Ah Choi

RANAU: Pengorbanan pemimpin terdahulu wajar diberikan penghargaan tertinggi masyarakat dan perlu diteladani oleh golongan muda-mudi masa kini.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Ketua Wiramuda Star Sabah, Kong Soon Choi@ Ah Choi, berkata, Tragedi 6 Jun 1976 antara lipatan sejarah pilu bagi seluruh rakyat Sabah ekoran kehilangan barisan kepimpinan yang begitu komited menjaga hak-hak rakyat dan negeri ini.

Katanya, walaupun peristiwa sedih itu telah berlalu 45 tahun yang lalu, namun ketokohan para pemimpin yang terkorban dalam nahas kapalterbang Nomad di Sembulan pada waktu itu wajar diteladani oleh pemimpin muda ketika ini. Jiwa kental dan pendirian teguh Allhyarham Tun Mohammed Fuad Stephen yang menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah dan barisan kepimpinannya antara contoh ketokohan pemimpin yang seharusnya diambil ikhtibar.

“Kepimpinan Allyarham Tun Fuad, jelas menunjukkan betapa komitednya beliau dalam mempertahankan hak-hak rakyat dan negeri Sabah. Walaupun beliau menerima tekanan yang kuat daripada pemimpin pusat pada ketika itu, namun beliau berpendirian tegas. Inilah yang perlu dijadikan aspirasi golongan pemimpin muda-mudi”, tegas Kong ketika ditemui pemberita untuk mendapatkan pandangan sempena memperingati Peristiwa Double Six disini.

Dalam masa sama, Kong turut mengajak para pemimpin muda untuk menanam iltizam dan semangat sama seperti pemimpin negeri Sabah terdahulu agar terus komited dan berani menyuarkan segala isu yang bernas untuk kebaikan negeri dan rakyat Sabah serta negara Malaysia secara keseluruhannya.

Katanya, era pemerintahan kerajaan negeri Sabah yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan adalah ruang terbaik untuk para pemimpin muda berani tampil mengemukakan sebarang pandangan demi kemajuan bersama.

“Jangan mengambil pendekatan mendesak secara membuta tuli untuk menyuarakan isu-isu rakyat. Sebaliknya pendekatan ‘Rundingan Secara Profesional’ untuk mendapatkan hasil yang konsensus dilihat suatu platform terbaik dikalangan pemimpin muda negeri Sabah membantu kepimpinan sedia ada bagi mendapatkan hak-hak negeri yang diperjuangkan selama ini”, jelas Kong.

Beliau mengambil contoh isu tuntutan royaliti minyak Sabah yang sekian lama diperjuangkan oleh tokoh pemimpin Sabahan yang masih belum menemui sebarang keputusan muktamad. Dalam hal ini, beliau berharap gabungan idea antara pemimpin muda dan veteran perlu disatukan dalam acuan yang sama bagi sama-sama mencapai kata sepakat dengan Kerajaan Persekutuan.

Tegas Kong, sejarah membuktikan bahawa isu royaliti minyak ini antara perjuangan lama pemimpin lampau termasuk para pemimpin yang terkorban dalam nahas kapalterbang pada 6 Jun 1976. Sehingga kini, isu itu masih menjadi tuntutan dan hasilnya ditunggu-tunggu sebahagian besar rakyat di negeri Sabah.

Jelasnya, beliau yakin dibawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Hj.Noor selaku Ketua Menteri Sabah serta barisan pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu mendapatkan semula hak sewajarnya mengenai tuntutan royaliti minyak negeri ini.

“Kita berharap kesepakatan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat membuahkan hasil yang menggembirakan seluruh rakyat Sabah khasnya dalam soal royaliti minyak Sabah. Saya melihat urustadbir kerajaan semasa yang ada sentiasa terbuka untuk menerima sebarang pandangan ini”, katanya.

Selain itu, Kong turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa-mangsa tragedi ‘Double Six’ yang terkorban. Dalam insiden itu, selain Allyarham Tun Mohammed Fuad Stephen, pejuang-pejuang Sabah yang terkorban dalam nahas kapalterbang Sabah Air Nomad GAF N22B termasuklah Allyarham Datuk Salleh Sulong, Mendiang Datuk Chong Thain Vun, Mendiang Datuk Peter J.Mojuntin serta tujuh individu lain.-

PrimeDaily

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN