25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Penghantaran pulang pelajar UMSKAL berjalan lancar

GAMBAR ATAS: Profesor Dr Jualang memantau urusan penghantaran pulang pelajar UMSKAL


LABUAN: Urusan penghantaran pulang pelajar Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) ke Semenanjung Malaysia pada Sabtu  berjalan lancar.

Seramai 302 pelajar UMSKAL berlepas dari Lapangan Terbang Labuan kira-kira pukul 3.20 petang.

Turut bersama mereka ialah lima pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) dan lima lagi pelajar Institut Latihan Perindustrian Labuan (ILP).

Selepas mendengar taklimat daripada Pegawai Sektor Hal Ehwal Pelajar (SHEP) dan Pegawai Polis di Dewan Utama, semua pelajar terbabit kemudian menaiki bas yang menunggu mereka di Padang Kawad UMSKAL.

GEMBIRA…Pelajar UMSKAL gembira pulang ke kampung halaman masing-masing di Semenanjung Malaysia, kelmarin.

Perjalanan ke Lapangan Terbang Labuan dari UMSKAL pukul 9.45 pagi berjalan lancar dengan iringan kenderaan polis.

Sementara itu, Pengarah UMSKAL, Profesor Dr Jualang @ Azlan Abdullah Gansau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai Pengerusinya, Dr Fary Akmal Osman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.

Katanya, urusan penghantaran pulang pelajar UMSKAL itu mendapat kerjasama daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Perbadanan Labuan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Turut membantu UMSKAL ialah Malaysia Airport Berhad (MAB), Jabatan Imigresen, Kolej Matrikulasi Labuan, Sekolah Menengah Sains Labuan dan SMK Labuan.

Beliau bagi pihak Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Dr Taufiq Yap Yun Hin, menasihatkan pelajar agar terus mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan di kampung halaman masing-masing bersama keluarga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

“Komitmen agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) terhadap pelajar UMSKAL itu amat kami hargai,”katanya.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Wilayah Persekutuan Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah dan Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad turut memantau urusan penghantaran pulang pelajar UMSKAL. TAMAT


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN