Arthur (kedua kanan) dan lain-lain menunjukkan bawang merah yang dihasilkan di sini
RANAU: Hasil kajian yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati bahawa tiga varieti bawang baharu mempunyai potensi tinggi untuk ditanam di Malaysia.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup yang telah mengadakan lawatan kerja ke plot tanaman bawang petani di bawah Projek Khas MADANI pada hari Sabtu mengesahkan perkembangan tersebut.
“Sejak tahun 2020 lagi, MARDI telah menjalankan kajian berkaitan bawang bagi memperkenalkan dan meningkatkan produktiviti pengeluaran bawang merah di dalam negara.
“Penyelidikan bawang merah ini melibatkan beberapa kajian utama iaitu pengadaptasi varieti dengan agroklimat negara, penanaman secara skala besar, kawalan serangan perosak dan penyakit, pengendalian lepas tuai dan risikan pasaran dalam dan luar negara.
“Hasil daripada kajian awal mendapati bahawa tiga varieti bawang iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 mempunyai potensi tinggi untuk ditanam di Malaysia,” katanya.
Tambah Arthur, melalui mandat yang diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MARDI secara aktif mengeluarkan benih bawang merah melalui dua fasa iaitu fasa pra-pengkomersialan pada tahun 2024 sehingga 2025 dan fasa pengkomersialan bermula 2026 sehingga 2030.
Di fasa pra pengkomersialan, katanya, MARDI telah membangunkan 15 usahawan benih bawang merah di bawah Projek Khas Inisiatif MADANI dan Projek Keterjaminan Makanan.
Menurutnya, usaha ini dijalankan dalam rangka usaha MARDI menghasilkan benih bawang merah yang mencukupi bagi tujuan pengeluaran bawang merah secara komersial.
“Pada tahun 2024, perluasan penanaman bawang telah diperluaskan ke beberapa negeri seperti Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan seterusnya di Sabah.
“Bagi tujuan peluasan kawasan, di Negeri Sabah khasnya, MARDI telah mengenalpasti beberapa usahawan tani untuk diberikan bimbingan teknikal bagi pengeluaran bawang merah,” kata beliau.
Antara usahawan tani yang telah memulakan tanaman benih bawang di Negeri Sabah ialah Shahrizal Denci yang merupakan pemilik kepada Syarikat D&H Plantation berpangkalan di Ranau.
Beliau merupakan salah seorang usahawan benih MARDI yang dipilih menjadi peserta projek Khas MADANI bagi Projek pengeluaran benih bawang merah seluas 4 hektar.
Tambah Arthur lagi, projek penanaman yang bermula pada bulan Jun 2024 ini dijangka mempunyai hasil sehingga 2.4 tan/ha.
“Bawang merah yang dikeluarkan oleh Shahrizal adalah dari varieti bawang merah MARDI, BAW-2.
“Pengeluaran bawang merah ini adalah melalui biji benih yang disemai di atas batas dan dalam tempoh 45 hari, anak benih yang matang terhasil dan dipindahkan ke ladang.
“Hasil yang diperolehi akan diperluaskan untuk kawasan penanaman persendirian oleh beliau,” kata Arthur.
Sementara itu, katanya, di Sabah, MARDI telah mengenalpasti dua orang lagi petani yang akan diberikan bimbingan bagi pengeluaran bawang merah melalui projek perintis MARDI dengan hasil yang akan diperolehi sehingga 1-2 mt setiap pengeluaran.
Tambahnya lagi, dijangkakan lebih ramai petani di negeri ini akan terlibat dengan pengeluaran bawang merah bagi menampung permintaan Negara menjelang 2026.
Bersempena dengan lawatan ini, Arthur turut menyampaikan insentif RM30,000 kepada pengusaha bagi pembinaan rumah pengeringan bawang merah.
Majlis turut di hadiri oleh Ketua Pengarah MARDI Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi Bin Abdul Ghani, Pegawai MARDI, Hafeifi Basir, Ahli Lembaga Pengelola MARDI, Datuk Dr. Daud Yusof antara lain.
1 – Arthur menyerahkan Insentif Rumah Pengeringan Bawang Merah kepada pengusaha
2 – Arthur (kedua kanan) dan lain-lain menunjukkan bawang merah yang dihasilkan di sini
3 – Arthur menunjukkan bawang merah yang dihasilkan di sini