Fadilah ketika berucap merasmikan penutupan BAF 2025 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, pada Ahad.
LABUAN: Penganjuran Borneo Arts Festival (BAF) mampu menjadi pemangkin penting ke arah menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hab penganjuran acara berimpak tinggi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, limpahan ekonomi yang terhasil daripada aktiviti seni dan pelancongan sepanjang festival ini bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor perniagaan dan perusahaan mikro tempatan, tetapi juga memperkukuh kedudukan sebagai pusat pelancongan dan ekonomi kreatif dirantau ini.
“BAF juga bukan sahaja mengangkat martabat seni Borneo, tetapi juga memperkukuh kedudukan Labuan sebagai pusat pelancongan dan ekonomi kreatif di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Borneo Art Festival (BAF) 2025 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, pada Ahad
Selain itu katanya kehadiran hampir 40,000 pengunjung dari rantau Borneo, menjadi bukti BAF akan terus diperkasa sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa yang juga menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negara.
“Labuan juga jelasnya, mampu menjadi simbol warisan sambil menyesuaikan diri dengan arus kemodenan, seiring aspirasi Malaysia MADANI berteraskan nilai kemanusiaan, kemajuan dan kesejahteraan sejagat.
“Saya akan terus memberikan sokongan untuk bersama-sama untuk menjayakan program di Labuan ini dan saya mengisytiharkan Labuan sebagai kawasan angkat PETRA. InsyaAllah kita akan bersama tahun depan,” katanya.
BAF 2025 edisi ke-12, dianjurkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya bertemakan “Warisan Seni Borneo; Jalinan Seni dan Cahaya”, sinergi antara tradisi dan inovasi, antara warisan dan kemodenan.
Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustapha, Ahli Parlimen Labuan Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan , Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh, Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib.



