Dr Zaliha berga mm bar bersama Ahli Persatuan Penggiat Media Labuan yang mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pengamal media memainkan peranan penting dalam memberikan pemahaman kepada rakyat terhadap usaha dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan MADANI.
Katanya, sebagai rakan strategik kepada Kerajaan Madani, media juga mempunyai peranan untuk membantu menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Di Jabatan Perdana Menteti (Wilayah Persekutuan) bersama Persatuan Penggiat Media Labuan yang diadakan disebuah restoran di Cyberjaya, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlee Yatim, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Wilayah Persekutuan, Mazura Ismail dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat (JHEK), Perbadanan Labuan Hasmizulizam Hamidon.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, kerajaan Madani komited untuk memberi tumpuan yang lebih kepada Labuan khususnya dalam sektor pelancongan yang dapat memanfaatkan potensi ekonomi jingga dan seterusnya mengangkat industri seni dan budaya sebagai aset penting Labuan.
Beliau berkata, Labuan sekali lagi akan menganjurkan Borneo Arts Festival (BAF) pada pertengahan bulan November dengan sasaran awal 35,000 pengunjung akan hadir menyaksikan BAF 2025.
“Sehubungan itu saya menyeru rakan-rakan media untuk terus membanntu mempromosikan festival BAF”, katanya.
Persatuan Penggiat Media Labuan adalah dalam rangka lawatan empat hari ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Semasa berada di Kuala Lumpur, rombongan media Labuan itu berpeluang menyaksikan Festival Taman Kuala Lumpur dan membuat lawatan ke Balai Seni Negara.
Rombongan seramai tujuh ahli Persatuan Penggiat Media Labuan itu turut diiringi oleh pegawai Jabatan Hal Ehwal Korporat Perbadanan Labuan.



