Beberapa kanak-kanak yang mempunyai acara sukan dibantu menyeberangi sungai yang naik parasnya dengan menggunakan bot
RANAU: Penduduk Kg Lungkidau diminta agar terus bersabar sementara pembinaan jambatan gantung dan jambatan konkrit yang baharu siap dibina bagi menggantikan jambatan lama yang telah musnah akibat bencana alam.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Adun Paginatan Datuk Abidin Madingkir berkata, beliau telah berhubung dengan pihak Jabatan kerja Raya (JKR) dan pihak berkenaan sudah memberikan respon mereka terhadap perkara itu.
“Mengenai dengan jambatan gantung, saya diberitahu oleh Kontraktor yang membina jambatan tersebut bahawa mereka sedang menunggu tiang besi dari supplier.
“Malangnya, stok tiang besi di kilang di Kota Kinabalu telah habis dan supplier terpaksa membuat order untuk tiang berkenaan daripada luar.
“Kontraktor mengharapkan agar supplier dapat membekal tiang-tiang tersebut dalam minggu ini supaya kerja-kerja pembinaan jambatan baharu dapat dimulakan dengan segara,” katanya.
Sementara itu, mengenai dengan jambatan konkrit, Abidin berkata, respon daripada JKR Sabah ialah tender bagi pembinaan jambatan tersebut akan dipanggil bulan ini seperti yang dijadualkan.
“Justeru, kita merayu kepada penduduk di kawasan ini agar terus bersabar. Kita memahami masalah yang dihadapi oleh mereka, lebih-lebih lagi dalam menjalani aktiviti harian mereka menyeberangi Sungai Liwagu,” kata beliau.
Dalam pada itu, pada hari Khamis, penduduk di Kg Lungkidau terus berhadapan dengan cabaran melintasi Sungai Liwagu yang parasnya telah naik ekoran hujan lebat pada malam sebelumnya.
“Kami tidak juga mahu komen apa-apa memandangkan peruntukan (pembinaan jambatan baharu) sudah ada, cuma agak lambat dilaksanakan.
“Jadi, kami penduduk kampung merayu sangat- sangat agar diprcepatkan pembinaan kedua-dua jambatan tersebut memandangkan banyak halangan bagi kami menyebrang sungai terutama bila masa banjir,” kata salah seorang penduduk kampung itu.
Beliau menceritakan bahawa pada pagi hari Khamis, ramai kanak-kanak sekolah yang terpaksa disuruh patah balik ke rumah kerana keadan tidak begitu mengiszinkan untuk menyeberangi sungai itu untuk ke sekolah.
“Kita ada menerima sumbangan bantuan daripada Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin yang membekalkan sebuah bot untuk digunakan menyeberangi sungai ini.
“Malangnya bot itu tidak dilengkapi dengan enjin dan pada awal pagi tadi kita terpaksa menyeberangkan beberapa orang kanak-kanak sekolah dengan menarik bot tersebut ke seberang.
“Hanya pada sebelah petang Khamis, barulah sebuah enjin telah dipinjamkan kepada penduduk untuk digunakan bersama bot tersebut. Kami harap bot ini dilengkapi dengan enjin yang tetap pada masa akan datang,” kata seorang lagi penduduk di sini.
Menurut mereka, mujur banjir kali ini tidak terlalu besar, kerana jika banjir lebih besar, penduduk kampung tidak ada jalan lain untuk menyebrangi sungai disebabkan keadaan sungai yang deras menyukarkan bot untuk menyeberangi sungai itu.
Penduduk juga merayu agar pembinaan jambatan yang baharu dipercepatkan, memandangkan perkara tersebut adalah isu yang serius dan mendesak kerana melibatkan keselamatan nyawa para penduduk di sini.