Robert (dua dari kiri)ketika melawat tapak cadangan untuk pembinaan tangki penyimpanan bekalan air ke Kampung Bandukan Lama
KENINGAU: Penduduk Kampung Bandukan Lama, di sini bakal menikmati bekalan air bersih terawat yang dibekalkan di kampung tersebut yang dijangka siap dalam tempoh pelaksanaan selama 18 bulan.
Sehubungan dengan itu, penduduk kampung tersebut berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin yang telah berusaha memohon projek pembangunan tersebut.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bandukan Lama, Jefly Jelius 34, berkata, selama ini mereka hanya bergantung kepada air sungai daripada paip graviti untuk keperluan asas dan urusan seharian.
Namun katanya, masalah akan timbul setiap kali musim hujan kerana air akan kotor dan ianya menyukarkan untuk mendapatkan bekalan air bersih.
Oleh itu katanya, dengan adanya bekalan air bersih terawat yang bakal disiapkan itu akan dapat memberikan banyak manfaat dan memberi kemudahan kepada mereka.
Jefly Jelius, Noraziah Sudin,
“Saya berterima kasih kepada kerajaan sekarang kerana prihatin dengan permasalahan kampung ini dimana masalah ini sekian lama kami tunggu-tunggu untuk diselesaikan,” jelasnya.
Sementara itu bagi penduduk kampung, Noraziah Sudin 29, berkata, sebagai suri rumah masalah air adalah perkara yang menyukarkan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga kerana apabila musim hujan bekalan air daripada paip graviti akan kotor dan membantutkan urusan seharian di rumah.
“Dengan adanya bekalan air terawat ini, ianya adalah satu khabar gembira lah buat kami di kampung ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Anita Bukat 56, berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin terhadap masalah mereka dan seterusnya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka sejak sekian lama.
“Banyak masalah yang dihadapi jika tiada bekalan air bersih ini. Apabila musim hujan air sungai akan kotor, air paip graviti juga selalu terputus sebab tersumbat ketika hujan, aktiviti harian pun terganggu dan terpaksa mencari bekalan air bersih untuk makan dan minum.
“Jadi dengan bantuan kerajaan untuk menyalurkan bekalan air bersih terawat ini kami sangat bersyukur lah kerana akhirnya ada penyelesaian masalah yang kami hadapi ini,” jelasnya.
Terdahulu Jurutera Jabatan Air Daerah Keningau, Doddy Jude Anthony ketika ditemui berkata, kerja-kerja pelaksanaan projek itu sedang dilaksanakan ketika ini dan akan mengambil masa dalam 18 bulan untuk disiapkan.