RANAU: Pendidikan memainkan peranan penting bagi membawa perubahan kepada masyarakat, khususnya melahirkan modal insan yang berilmu, bervisi dan berdaya saing.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pendidikan merupakan wahana penting, yang mampu memacu kemajuan serta pembangunan bangsa dan negara.

Kearah itu katanya, Negeri Sabah memerlukan ramai modal insan yang berkualiti dan mampu menyumbang kepada kemajuan negeri.
“Dalam konteks daerah Ranau, dapat kita saksikan kemajuan daerah ini berbanding 50 tahun yang lalu, sedikit sebanyak dibentuk oleh modal insan daerah Ranau yang berjaya mendapatkan pendidikan tertinggi.
“Saya yakin dan percaya, para graduan dari daerah ini berupaya mengilhamkan cadangan, buah fikiran serta idea-idea besar dan praktikal bagi merancakkan lagi pembangunan serta kemajuan khususnya di daerah Ranau,” katanya.
Shafie berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr.Jaujan Sambakong sempena Majlis Malam Mesra Graduan Ranau 2019 pada Sabtu Dewan Kompleks Sukan Ranau anjuran Persatuan Graduan Ranau dan Kelab Semangat Ranau No.1 dengan kerjasama Pejabat Daerah Ranau.
Menurut Shafie, para graduan yang ada di daerah ini bukan sahaja perlu menjadi role model malah menjadi pencetus semangat buat masyarakat Bumiputera di daerah ini untuk terus berusaha mencapai kejayaan, di samping berkongsi pengalaman serta memberi bimbingan untuk terus maju ke hadapan.
“Saya mendoakan agar daerah Ranau akan berjaya mencipta kejayaan demi kejayaan, melakar lebih banyak kecemerlangan dalam pelbagai bidang, dan melahirkan anak bangsa yang berilmu serta berkualiti yang berupaya menjadi pewaris kepimpinan generasi pada masa ini.
“Adalah menjadi harapan agar majlis seumpama ini akan turut diterjemahkan dalam konteks yang lebih luas, khususnya dalam membantu membangunkan dan memajukan masyarakat ke arah peningkatan sosio-ekonomi demi kemajuan daerah Ranau pada keseluruhannya,” ujar Shafie.
Pada majlis itu, Mantan Menteri Tanah Dan Pembangunan Koperasi Malaysia, Tan Sri Haji Kasitah Gaddam telah menerima anugerah khas ‘Lundu Nabalu’ sebagai Graduan Pertama Ranau 1970.

Anugerah ‘Lundu Nabalu’ turut diberikan kepada Graduan Wanita Pertama Ranau 1975, Datin Dr.Lungkiam Dambul.
Turut menerima Apresiasi ialah Graduan Terawal Ranau (1970-1979) terdiri Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun,Chong Poh Ming @ Som It, Haji Ramli Amir, Datuk Abidin Madingkir, Markos Siton, Datuk Dr.Ewon Ebin, Hajah Hamimah Arifin, Haji Wasimin Daiman, Prof.Madya Dr.Markus Atong, Haji Junian Yunus, Datuk Nordin Siman, Wasli Amir, Sangau Gunting dan Mendiang Datuk Seri Panglima Mark Koding.-TAMAT–
