26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pemuda GRS Ranau Komited Sokong Calon diketengahkan parti

Rosdi (duduk kedua kiri) dan barisan Pemuda GRS Ranau siap bekerja untuk memenangkan calon GRS di sini

RANAU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Ranau dengan penuh komitmen dan tanggungjawab menyatakan sokongan sepenuhnya kepada calon-calon yang akan diketengahkan oleh parti itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah nanti.


Ketua Pemuda GRS P179 Ranau, Rosdi Abd Ghani berkata, gerakan pemuda berpegang kepada prinsip bahawa pembangunan dan kestabilan kerajaan Negeri Sabah harus diberi keutamaan dalam pemilihan calon.


“Pemuda GRS Ranau akan menggembleng tenaga dan menggerakkan jentera akar umbi untuk memastikan calon GRS mendapat kemenangan dalam PRN nanti, tidak kira siapa calon yang akan dipilih.


“Kita percaya bahawa kemenangan bukan sekadar kerusi, tetapi ia adalah mandat untuk membawa perubahan yang sebenar kepada rakyat demi masa hadapan yang lebih cerah,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Pemuda GRS Ranau yang telah diadakan bertempat di Pejabat PGRS Ranau pada Khamis.


Mesyuarat turut dihadiri oleh wakil pemuda dari komponen parti GRS yang lain.


Antara yang dibincangkan termasuklah gerak kerja dan komitmen Pemuda GRS Ranau menjelang Pilihanraya Negeri Sabah yang akan berlangsung pada bulan hadapan.


Sementara itu, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, kerajaan GRS akan terus membangunkan belia sebagai teras kemajuan masa depan negeri selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


Beliau berkata pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan ke arah memperkasakan pembangunan modal insan supaya belia Sabah terus maju ke hadapan dalam pelbagai bidang.


“Pelbagai inisiatif telah dibuat untuk membawa belia ke hadapan selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.


“Ini dapat dilihat dalam pemberian bantuan pendidikan negeri Sabah yang merangkumi pelbagai bentuk seperti biasiswa, sumbangan pelajar, dana pendidikan, peralatan dan bantuan tunai,” katanya baru-baru ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN