27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PEMEGANG ADAT DIGESA TERUS SOKONG PEMIMPIN – KETUA DAERAH

Gambar : Muhasip ketika berucap di majlis itu

RANAU :  Para pemegang adat di daerah ini digesa agar terus memberikan sokongan kepada keempat-empat pemimpin politik di DUN N38 Paginatan, N37 Karanaan, N36 Kundasang dan Parlimen P179 Ranau. Keempat-empat pemimpin tersebut telah diberikan mandat dan kepercayaan di kawasan masing-masing. Mereka kini sedang menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan baik.

Berucap pada Mesyuarat Agung Pemegang Adat Paginatan di Pusat Markas STAR Kampung Lohan baru-baru ini, Ketua Daerah, Muhasip Haji Ruman membidas segelintir pihak yang disifatkannya banyak mulut atau suka berleter dengan sengaja menjatuhkan kepimpinan seseorang.

“Lupakan perkara yang sudah berlalu. Peranan kita adalah memberikan sokongan padu dan bukan membeza-bezakan pemimpin atau  mencari kelemahan. Jika bertujuan untuk teguran membina, tegurlah dengan cara berhemah iaitu secara bersemuka bukan dengan cara berleter di dalam kumpulan whatsap. Saya yakin keempat-empat pemimpin kita sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar dan memberi maklum balas. Ikut saluran yang betul seperti melalui persatuan ini,” ujar Muhasip.

 “Saya bukan orang politik tetapi sebagai Penasihat Persatuan Pemegang Adat di daerah ini saya terpanggil untuk menyampaikan teguran ini kerana kita melihat ada ahli yang pandai bermuka-muka dan kepura-puraan.  Depan kita baik tetapi di belakang penuh leteran seolah-olah tidak tahu bersyukur dan menghormati maruah seseorang,” katanya.

“Kita ada persatuan pemegang adat yang berdaftar di daerah ini. Para pemegang adat di samping menjadi ketua adat kita sepatutnya menjadi contoh masyarakat sekeliling dan mempunyai peranan menasihati penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.

“Saya percaya dalam setiap di mana pun juga kampung, wujud individu seperti ini yang suka memfitnah untuk tujuan memburuk-burukkan seseorang hingga kesatuan dalam kampung berpecah-belah dan tiada kerjasama,” ujarnya lagi.

Muhasip berharap ahli-ahli yang baharu dilantik pada mesyuarat itu dapat terus menjalankan tugas sebaik-baiknya dan sentiasa menjaga kebajikan persatuan. Beliau juga mengalu-alukan jika ada sebarang cadangan daripada persatuan boleh dibawa ke peringkat daerah untuk diperhalusi sebelum dipanjangkan ke peringkat pusat.

“Bagi yang tidak dilantik atau berundur secara sukarela teruskan menyokong persatuan demi memartabatkan adat istiadat orang-orang kita,” katanya.

Turut berucap pada majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir. Antara lain ucapannya ialah kenyataannya yang menyokong cadangan untuk meletakkan syarat permohonan tanah sebagai satu ketetapan baharu iaitu menerbitkan satu borang khas permohonan tanah yang ditandatangan oleh Ketua Kampung.

Ia bertujuan mengelak permohonan sewenang-wenangnya daripada orang luar yang bukan penduduk kampung tersebut. Perkara tersebut sudah dimaklumkan dan dipersetujui oleh Pegawai Daerah untuk penerbitan dan pengedaran.

Turut hadir pada majlis itu ialah PPM Paginatan Mohd. Hisyamuddin Harun, CDO Paginatan Jipili Sigal dan Setiausaha STAR Bahagian Paginatan Juis Konsuliing.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN