Tapak jambatan baharu di Kg Kawiyan
RANAU: Kerja-kerja pembinaan semula laluan yang rosak susulan insiden jambatan runtuh disebabkan kemalangan jalan raya yang berlaku di Kg Kawiyan Ranau kini dijalankan dengan kadar segera.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, pihak berkuasa iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membuat pemeriksaan terhadap kawasan terbabit dan kini langkah-langkah yang perlu sedang diambil untuk menanganinya.
Menurutnya, memang terdapat jalan alternatif yang boleh dilalui oleh pengguna jalan iaitu dengan menyeberangi sungai di kawasan berdekatan melalui laluan low-level crossing.
Walaubagaimanapun, katanya, laluan tersebut juga tidak dapat digunakan sebagai laluan kekal memandangkan apabila berlaku banjir besar, jalan tersebut tidak dapat dilalui oleh kenderaan atas factor keselamatan.
Jonathan menambah, laluan sementara itu hanya boleh digunakan merentasi sungai untuk kenderaan jenis pacuan empat roda, manakala bagi kenderaan kecil tidak digalakkan untuk merentas laluan tersebut.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, pada ketika ini pihak kontraktor sedang bertungkus lumus untuk menyiapkan satu jambatan separa kekal di sana bagi menggantikan jambatan yang roboh.
“Walaubagaimanapun, keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu dan asyik hujan memberikan cabaran kepada kerja-kerja pembinaan. Ini sudah tentu mempengaruhi penyiapan jambatan tersebut,” katannya.
Baru-baru ini, sebuah lori seberat 10 tan telah terjunam ke dalam sungai selepas cuba menyeberangi jambatan lama di Kg Kawiyan Ranau dan kejadian itu cepat menjadi tular di media sosial.
Kedua-dua pemandu dan pembantu terselamat tanpa sebarang kecederaan serius, namun begitu, netizen pantas mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh pemandu lori untuk menyeberangi jambatan separa kayu dan keluli lama itu.
Dikatakan bahawa jambatan itu dibina untuk penduduk kampung pergi dan balik ke Pekan Ranau dan destinasi masing-masing, dan kini terputus hubungan susulan kejadian itu.
Jambatan yang rosak itu hanya untuk kenderaan ringan dan kecil, dan jentera berat seperti lori atau trak, terutamanya yang mengangkut muatan berat, tidak sepatutnya melalui jambatan itu.



