25 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 18, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Pembangunan modal insan kawasan Pedalaman antara aspek utama : Abdul Ghani

Deckson (dua dari kanan) diberi taklimat ringkas oleh Timbalan Sektor Pembelajaran PPD Pensiangan, Khairul Akhmal Abdullah (kanan) mengenai fungsi Makmal BISTRO 3M PPD Nabawan.

NABAWAN: Pembangunan modal insan di seluruh negeri Sabah khususnya di kawasan Pedalaman antara aspek utama yang mesti diambil perhatian bagi memastikan anak-anak diberi akses pendidikan yang berkualiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, masih banyak perkara yang perlu ditambah baik untuk menyediakan akses pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak.

Katanya, pihak kerajaan samaada di peringkat Persekutuan mahupun kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek pembangunan modal insan khususnya pelajar sekolah rendah mahupun peringkat sekolah menengah.

“Lebih-lebih lagi apabila kita berhadapan dengan murid-murid dalam pelbagai kategori bukan sahaja mereka yang istimewa atau mempunyai kelainan upaya sukar untuk menguasai asas Membaca, Mengira dan Menulis (3M), malah sebenarnya mungkin ada dalam kalangan anak-anak yang normal agak lambat sedikit penerimaannya dan memerlukan kaedah pengajaran yang sesuai untuk untuk dididik” katanya dalam ucapan perasmian Bilik Instrumen Onsoi (BISTRO) 3M dan Lawatan Jaringan Perkongsian Ilmu Pemulihan Khas dan DLP PPD Tenom dan PPD Pensiangan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nabawan pada Khamis.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pemimpin Pembangun Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai.

Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata, Kerajaan Negeri Sabah akan sentiasa memberikan komitmen yang terbaik untuk memajukan sistem pendidikan dan kebolehcapaian akses pendidikan yang berkualiti dan berkesan di semua kawasan di negeri ini.

“Namun demikian pada ketika ini kita di peringkat negeri harus akur untuk mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan yang berpusat di peringkat Persekutuan” katanya.

Sementara itu Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan Puan Laineh Agindang @ Mohd Asri berkata,pewujudan Makmal Pemulihan Khas PPD Pensiangan (BISTRO 3m) diwujudkan sesuai dengan objektif yang diaspirasikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Katanya, antaranya ialah menjadi pusat kegiatan Guru Pemulihan Khas untuk mencari penyelesaian bersama dalam usaha menangani isu murid tidak menguasai kemahiran asas 3M.

Selain itu katanya, ia turut menjadi sumber ilmu bahan pemulihan khas secara kolektif yang melibatkan semua 32 Kemahiran Bahasa Melayu dan 9 Kemahiran Matematik.

“Lebih daripada itu, dengan pewujudan makmal ini juga dapat memupuk permuafakatan Majlis Guru Pemulihan Khas (MGPK) bersama Guru Besar dan PIBKS peringkat daerah” jelasnya.

Tambahnya, JPNS juga berhasrat agar dapat melahirkan guru yang kreatif dan berinovasi dalam kemenjadian pengurusan program ini.

Disamping itu katanya, PPD Pensiangan turut berharap agar BISTRO 3m ini menjadi kelas ‘showcase’ bagi Kelas Pemulihan Khas dalam peringkat daerah serta boleh digunakan sebagai kelas
bimbingan oleh lokasi.

Beliau berharap dengan pewujudan BISTRO 3m ini dapat memberikan impak positif kepada semua yang terlibat serta berkesan dalam usaha mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M.

Turut berucap pada majlis itu Pegawai Pendidikan Daerah Tenom Saibeh Abdul Sani.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN