27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pembangunan mampan, PBS akan terus perjuangkan rakyat Parlimen Kota Marudu

Pembangunan mampan, Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Kerajaan GRS akan terus perjuangkan rakyat Parlimen Kota Marudu”

Datuk Julita Majungki

KAWASAN Parlimen Kota Marudu telah mengalami perubahan daripada segi pembangunan ekonomi termasuk kemunculan kawasan-kawasan pertumbuhan baharu yang menyediakan peluang pekerjaan bagi membantu meningkatkan kehidupan masyarakat setempat.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Julita Majungki membidas satu kenyataan media bertarikh 21hb Februari 2021, iaitu sebuah kenyataan media yang memberi gambaran ‘kegagalan’ pemimpin dalam Parti Bersatu Sabah di Kota Marudu. Tetapi kebenarannya ialah perkara ini merupakan masalah besar yang dihadapi oleh rakyat dan penduduk di hampir semua kawasan luar bandar.

Kenyataan itu menyatakan lagi
bahawa Ahli Parliman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gagal membela nasib rakyat di kawasan itu, adalah sama sekali tidak benar kerana pelbagai perubahan dan kemajuan telah dibawa ke Kota Marudu.

“Daerah Kota Marudu di bawah pucuk pimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebenarnya telah mengalami banyak perubahan termasuk mewujudkan dan mengembangkan pekan-pekan baru seperti di pusat perniagaan Langkon, pekan Goshen dan pekan baru Kota Marudu yang merupakan bukti kemakmuran ekonomi di daerah ini.

“Secara tidak langsung perkembangan ini telah menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan dan menjadi pekan utama yang membawa faedah sehingga ke Pitas dan Paitan termasuk Ranau,” katanya.

Julita menegaskan lagi, disebabkan kawasan Parlimen Kota Marudu adalah sangat luas, tentu ada kawasan yang belum mencapai kemajuan sepenuhnya, tetapi itu tidak bermakna kawasan terbabit terlepas daripada perancangan pembangunan.

Katanya, walaupun laporan tersebut adalah kenyataan yang pahit, tetapi realitinya perkara ini bukan sahaja berlaku di Kampung Tagibang, Kota Marudu tetapi di hampir semua daerah di negeri Sabah.

“Seperti kebanyakan daerah dan kawasan parlimen di negeri Sabah, Parlimen Kota Marudu adalah antara kawasan yang luas, merangkumi keluasan tiga negeri di Semenanjung seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.


“Namun kawasan P168 Kota Marudu hanya diwakili oleh seorang ahli Parlimen berbanding tiga negeri berkenaan. Dalam rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), gabungan kawasan Parlimen bagi tiga negeri ini adalah sebanyak 31 kawasan iaitu tiga di Perlis, 15 di Kedah dan 13 di Pulau Pinang. Itu belum diambil kira kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pastinya lebih banyak,” kata beliau.

“Parlimen Kota Marudu yang keluasannya sama dengan tiga negeri tersebut selama ini mempunyai dua kawasan DUN dan hanya bertambah satu lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini. Kita bercakap mengenai kekangan dan kekurangan dana yang mencukupi untuk melakukan semua perkara serentak seperti yang kita inginkan.

Katanya, sudah tentu ada banyak lagi perkara yang perlu dilakukan sama seperti kawasan-kawasan Parlimen yang lain.

Dari segi kemudahan awam katanya, Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili telah berjaya membawa projek naik taraf jalan raya berimpak besar seperti naik taraf Jalan Marak-Parak ke Poring Ranau yang sekali gus telah menghubungkan daerah Kota Marudu dengan Ranau.

Selain itu, katanya, Jalan Talantang-Gana sejauh 20.9 kilometer juga telah berjaya disiapkan dan kini telah memberi manfaat kepada rakyat untuk bergerak ke pusat pentadbiran di pekan itu.

“Jalan ini juga telah membuka peluang kepada pelbagai inisiatif kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk membangunkan kawasan Gana yang terpencil dengan program Agropolitan dan penempatan semula penduduk di kawasan tersebut yang terdiri daripada suku Sonsogon dan Tinagas.

Julita menambah, kerja-kerja naik taraf jalan-jalan lain seperti Jalan Radu, Jalan Tagaroh dan Jalan Sungoi adalah antara bukti komitmen PBS di Parlimen Kota Marudu.

“Jalan-jalan utama yang menghubungkan kampung-kampung terpencil seperti sungai Magandai dan Samparita juga turut mendapat perhatian kerajaan. Kita berharap dua jalan raya ini khususnya dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Usaha yang sama juga turut dan sedang dilakukan bagi menaiktaraf jalan-jalan raya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di DUN Matunggong secara berperingkat.

Pembangunan pendidikan di Kota Marudu juga tidak terabai dengan pembinaan sekolah menengah tambahan seperti SMK Kota Marudu II untuk menampung keperluan yang semakin bertambah.

Katanya, isu sekolah-sekolah menengah yang menumpang juga telah diselesaikan khususnya SMK Bandau dan SMK Langkon yang sedang dalam pembaikan.

“Pembinaan asrama desa juga adalah antara inisiatif yang masih berjalan. Setakat ini tidak kurang daripada 10 buah asrama desa telah dibina dan telah membantu banyak pelajar miskin luar bandar untuk meneruskan pelajaran mereka.

“Itu belum disebut hal berkaitan perumahan dan berkenaan pemilikan tanah bagi rakyat Kota Marudu yang telah dilakukan. Semua ini adalah atas usaha dan dedikasi Ahli Parlimen Kota Marudu kepada rakyat dan penyokong Parti Bersatu Sabah Di kawasan ini.

“Usaha membangunkan dan memajukan Parlimen Kota Marudu tidak pernah berhenti. Ia adalah komitmen berterusan kami, para wakil rakyat di kawasan ini. PBS sebagai rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berganding bahu dengan rakan-rakan lain dalam kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membantu rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN