Foto- Bomba Ranau
RANAU, 23 Julai 2021: Pemandu dan kelindan lori cedera parah selepas kenderaan itu terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 5 Jalan Ranau – Kundasang, dekat Kampung Kibbas, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, kemalangan itu berlaku lebih kurang jam 5 petang ketika lori berkenaan dalam perjalanan menghantar barang dari Kota Kinabalu menuju ke Semporna.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan jam 5.16 petang berhubung kejadian itu, seterusnya mengegaskan dua buah jentera dan sebuah EMRS bersama seorang pegawai dan tujuh anggota ke lokasi kejadian.
Anggota bomba mengangkat mangsa menggunakan streatcher
“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati sebuah lori jenis 3 tan dengan pelbagai muatan barang-barang telah terbabas ke dalam gaung sedalam 70 meter.
“Pasukan bomba membuat size up dan mendapati dua mangsa lelaki dalam keadaan cedera parah dipercayai tercampak keluar daripada lori.
“Kedua-dua mangsa, Nulajih Bin Tamama, 50 (pemandu) dan kelindan, Omar Bin Abdul, 47, dibawa naik ke jalanraya menggunakan sistem tali dan streatcher.
“Mangsa masing-masing dihantar ke Hospital Ranau menggunakan EMRS dan ambulans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ridwan lagi, barang-barang milik mangsa telah diserahkan kepada pihak polis. Operasi tamat sepenuhnya jam 6.35 petang.