25 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 14, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Pemandu 4WD Meninggal Dunia Selepas Rempuh Kenderaan Parkir di Penampang

Kenderaan pacuan empat roda merempuh motokar diparkir di lot parkir Taman Suria

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandunya merempuh dua buah motokar yang diparkir di lot parkir Taman Suria Apartment di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata, kejadian yang disahkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang itu melibatkan tiga kenderaan, iaitu sebuah 4WD dan dua motokar yang berada dalam keadaan parkir.

“Siasatan awal mendapati pemandu 4WD dipercayai mengalami masalah kesihatan ketika memandu sehingga menyebabkan beliau gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh motokar berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pemandu terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan tiada kecederaan fizikal lain dilaporkan akibat kemalangan tersebut.

Menurutnya, kes kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala kes kemalangan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati serta mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keselamatan awam juga digalakkan untuk menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu tindakan lanjut.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN