Robert melawat Dewan Tamu Apin-Apin yang baru siap dibina.
Oleh: Rizalmi Liman
KENINGAU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor terus berubah wajah melalui pelbagai kemudahan infrastruktur berjaya dibina di kawasan DUN itu.
Pembantu Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor, Datuk Robert Tawik berkata, usaha yang berterusan membawa pembangunan berkenaan adalah bagi memastikan semua penduduk di kawasan jagaan beliau menerima dan merasa nikmat pembangunan dan tiada seorang pun merasa tersisi.
Namun katanya, ianya perlu dilakukan secara berperingkat sehingga semuanya merasa nikmat pembangunan dan seterusnya membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk di DUN itu.
Pada Rabu, beliau sekali lagi melawat beberapa projek kemudahan infrastruktur yang telah siap dan tengah dalam pembinaan di Keningau.

Robert melawat struktur tapak pembinaan Jambatan Jalan Ranggom Lambanga.
Lawatan beliau merangkumi naik taraf Jalan Konkrit yang masing-masing telah siap dilaksanakan iaitu di Kampung Menggitom Tengah, Kampung Melidang, Kampung Liau Ulu, Kampung Takad Selatan, Kampung Mararagang, Kampung Gasabon dan Kampung Kikiran.
Selain jalan raya, beliau turut melawat projek kemudahan infrastruktur perparitan, pembetung dan jambatan gantung termasuklah struktur tapak pembinaan Jambatan Jalan Ranggom Lambanga, baik pulih Jambatan Gantung Kampung Nuntunan-Mararagang, pembinaan pembentung Jalan Kampung Ritting dan perparitan konkrit Kampung Kirokot Delima.
“Turut dilawati ialah penyelengaraan Surau Kampung Bunga Raya, bina baru Dewan Tamu Apin-Apin, Dewan Terbuka Kampung Ranggom dan naik taraf bangunan Dapur Balai Raya Kampung Kikiran,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berharap agar kemudahan infrastruktur berkenaan dapat memberi impak yang besar kepada keselesaan dan kemudahan penduduk kampung dan pengguna.
“Saya akan terus lakukan yang terbaik agar semua penduduk di DUN ini dapat menikmati lebih banyak kemudahan infrastruktur selain mengubah wajah DUN Bingkor kearah yang lebih baik selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya dan Bingkor Membangun Bersama Rakyat,” tambahnya.