Kong menerima cendera kenangan dari Atamah Tingadon, Pengerusi Pertandingan Hiis Daerah Keningau.
KENINGAU : Pelajar sekolah rendah dan menengah perlu mendalami ilmu mengenai kesusteraan suku kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) khasnya yang berkaitan adat-istiadat tradisional, nyanyian, tarian, pakaian dan makanan tradisi suku kaum tersebut.
Ketua Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (StarSabah), Kong Soon Choi berkata, suku kaum KDMR kaya dengan kepelbagaian amalan tradisional yang membolehkan para pelajar mendapat ilmu pengetahuan dalam pembelajaran di sekolah.
“Sepertimana yang kita sedia maklum, masyarakat KDMR memang terkenal dengan adat budaya tradisional yang sangat menarik perhatian seluruh masyarakat di negara ini. Kesemua kelebihan ini adalah teras kepada imej masyarakat KDMR yang perlu dipelajari oleh pelajar sekolah untuk bekalan ilmu dalam pembelajaran”. Katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan HIIS Peringkat Daerah Keningau sempena sambutan Pesta Menuai Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Daerah Keningau dekat sini pada Jumaat lepas.
Katanya, HIIS merupakan aliran sastera suku kaum KDMR yang terdiri dari pelbagai genre seperti Ta-Ala-Ala, Tundodoi, Sundawil, Tuntura, Sisinsiron, Sundait, Andayayong dan Manambalang yang mana kesemuanya boleh dibuat kajian mendalam bagi matapelajaran KDMR.
Kong bergambar bersama ahli kumpulan yang memenangi pertandingan HIIS Daerah Keningau.
Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta yang pakar mengenai kajian etnik untuk menerbitkan hasil kajian masyarakat KDMR untuk dijadikan bahan bacaan kepada pelajar sekolah.
“Saya percaya terdapat IPTA dan IPTS yang pakar dalam kajian etnik mampu menerbitkan buku-buku mengenai kajian masyarakat KDMR yang seterusnya boleh diedarkan ke sekolah-sekolah bagi membantu pelajar mendapat ilmu lebih mendalam”. Jelasnya.
Pertandingan HIIS Peringkat Daerah Keningau disertai empat buah sekolah yang membabitkan peserta dari kalangan pelajar sekolah rendah dan menyaksikan Kumpulan Sayau Ogingo menjadi johan, Kumpulan Tanak Sandad tempat kedua manakala Kumpulan Tanak Koubasanan Bundu tempat ketiga.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Razidin Robert, Naib Pengerusi KDCA Daerah Keningau, Atamah Tingadon, Pengerusi Pertandingan HIIS Daerah Keningau dan Chong Jin Han, Exco Wiramuda Star Sabah.