RANAU: Polis Daerah Ranau telah berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes curi sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC milik seorang petani di Kampung Marakau.
Kejadian berlaku pada 16 September 2024 di Kampung Cinta Mata, Kundasang.
Suspek pertama, seorang pelajar berusia 16 tahun, ditahan pada 2 Jun 2025 semasa sekatan jalan raya di Riverside, Ranau. Pemeriksaan mendapati motosikal yang dinaiki adalah hasil curi.
Suspek mengaku membeli motosikal tersebut daripada suspek kedua.
Suspek kedua, berusia 20 tahun, ditahan keesokan harinya, iaitu pada 3 Jun 2025, di Pekan Ranau. Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk usaha mengesan rakan sejenayah lain yang telah dikenalpasti.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan menggunakan langkah keselamatan tambahan bagi mengelakkan kejadian jenayah kecurian kenderaan.
Dalam satu insiden berasingan, pihak polis telah menerima laporan daripada seorang wanita dari Ranau yang menjadi mangsa penipuan pembelian emas melalui Telegram.
Mangsa tertarik dengan tawaran harga emas yang sangat murah dan telah membuat beberapa pembayaran berjumlah RM4,210.
Selepas bayaran dibuat, suspek meminta lagi bayaran tambahan yang mencurigakan sebelum mangsa sedar dia telah ditipu.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tindakan lanjut seperti permohonan data Telco dan forensik digital akan diambil untuk mengesan dan menangkap suspek.
Pesanan polis kepada masyarakat, berhati-hati dengan tawaran harga yang terlalu murah di media sosial! Jangan mudah terpedaya dan sentiasa buat semakan sebelum membuat pembayaran.
Sekiranya ada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini, sila hubungi balai polis berdekatan.



