28 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Peguam desak hukuman berat kepada pendera

Erveana Ansari….Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita Gagasan Rakyat Sabah.

KOTA KINABALU – Pelaku kes dera khususnya melibatkan bayi dan kanak-kanak perlu dikenakan hukuman maksimum sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak mengulang perkara yang sama.

Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Erveana Ansari semasa menggesa hukuman berat tersebut berkata, kes dera bukan sekadar mencederakan mangsa tetapi memberi kesan jangka panjang kepada mereka.

“Dalam satu kejadian baru-baru ini, mangsa ditendang dibahagian perut dan dada, ditampar dengan kuat mengunakan tangan di bahagian muka mangsa berkali-kali, ditarik rambut dengan kuat, dipukul dengan kuat di bahagian tangan, badan dan kepala mengunakan pembaris sehingga terbaring di kerusi.

“Mangsa juga ditumbuk di kepala berkali-kali dan dipukul di kepala mengunakan buku kuning. Bayangkan kesengsaraan fizikal dan ‘psychological trauma’ mangsa yang berumur 4 tahun oleh pengasuh yang tidak berperikemanusiaan tersebut.
 
“Saya yakin sesiapa pun magistret atau hakim yang mendengar kes ini  akan mengenakan hukuman penjara yang seberat- beratnya kepada pengasuh tersebut,” katanya.
 
Beliau mengulas mengenai video penderaan yang viral baru-baru ini melibatkan seorang pengasuh terhadap seorang kanak-kanak berusia empat tahun di sebuah Taska di Luyang, Penampang.

Erveana berkata, pada pendapatnya, walaupun pengasuh di dalam kes ini mengaku bersalah, hukuman penjara minimum yang patut di kenakan ke atas pengasuh tersebut tidak sepatutnya kurang dari 10 tahun hukuman penjara.

“Ini adalah kerana kes penderaan ini melibatkan penderaan yang lebih dari satu insiden seorang kanak kanak yang berumur 4 tahun. Kesan negetif dari segi fizikal, mental dan emosi akan menghantui kanak kanak tersebut sepanjang hayatnya.

“Ibu bapa dan ahli ahli keluarga mangsa yang lain juga turut mengalami tekanan mental dan emosi akibat dari penderaan mangsa,” katanya.

Erveana berkata, kes tersebut adalah merupakan penderaan fizikal berulang-ulang dan serius dan sewajarnya hakim tidak membuat keputusan berdasar satu klip video sahaja.

“Berpandukan dengan apa yang terkandung di dalam seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 di atas memandangkan mangsa telah mengadu berulang kali didera bermula dari bulan Mac dan penderaan diberitahu kepada ibu bapa dan direkod oleh ibu bapa mangsa.

“Dan jika perkara ini dapat dibuktikan di mahkamah sewaktu perbicaraan nanti, hukuman yang diberikan kepada pengasuh tersebut sudah pastinya harus melibatkan semua kejadian penderaan yang berlaku dan bukan sahaja kejadian penderaan yang sedang tular di media sosial sekarang,” ujar beliau.

Jelas Erveana, kes penderaan kanak kanak pada masa kini telah meningkat dengan dengan mendadak walaupun Parlimen telah meningkatkan hukuman dibawah seksyen 31 (1) (a) akta Kanak-Kanak 2001 pada 2016.
 
“Di samping itu kes kematian kanak kanak akibat dari penderaan adalah lebih kurang 220 kes dalam masa 4 tahun ini. Hukuman penjara yang ringan tidak akan berupaya menakutkan pendera kanak kanak untuk berhenti mendera atau menakutkan mereka yang ada niat untuk mendera di masa akan datang.

“Seperti yang kita sedia maklum, Kanun Keseksaan (Jenayah) itu diwujudkan untuk melindungi masyarakat umum dari jenayah dan bahaya yang disebabkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” tambah beliau.
 
Katanya, sebagai seorang ibu kepada tiga anak yang juga seorang peguam, beliau  berpendapat hukuman yang sekeras-kerasnya patut dijatuhkan terhadap pengasuh di dalam kes ini.

Sementara bagi kes bapa mangsa pula, beliau berharap pihak pendakwa tidak mendakwa lelaki tersebut di bawah seksyen 323 kanun keseksaan.

“Sesiapa pun ibu atau bapa yang melihat kejadian anak mereka didera seperti di dalam kes ini akan hilang pertimbangan dan mengamuk jika mendapat tahu anak mereka didera sedemikian rupa.

“Walau bagaimanapun saya benar benar berharap walaupun ayah mangsa juga bakal dituduh, akan ada ramai peguam yang akan menampilkan diri untuk membela bapa mangsa atas dasar pro bono,” jelasnya.
 
Malah katanya, jika bapa mangsa didapati bersalah atau disabitkan dengan kesalahan, dia cuma diberi hukuman bon berkelakuan baik selama 1 tahun dengan 1 penjamin tempatan tanpa perlu membayar denda.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN