Kesesakan lalu lintas di Ranau semakin meningkat menjelang musim cuti
RANAU: PDRM menasihatkan pengguna jalan raya di sekitar Ranau supaya bersedia menghadapi kemungkinan kesesakan lalu lintas, terutamanya di kawasan utama dan laluan keluar masuk daerah semasa cuti Aidilfitri.
Situasi semasa menunjukkan bahawa kesesakan berlaku di sekitar Pekan Ranau dan laluan utama dari Kundasang ke Ranau disebabkan oleh peningkatan bilangan kenderaan, terutamanya menjelang musim perayaan. Keadaan cuaca yang tidak stabil juga boleh menjejaskan kelancaran perjalanan.
Beberapa punca kesesakan telah dikenal pasti, termasuk orang ramai yang pulang ke kampung atau destinasi percutian di Ranau dan Kundasang. Semasa ini berlaku, keadaan jalan berbukit dan selekoh tajam memperlahankan aliran lalu lintas.
Selain itu, polis menyatakan bahawa sekiranya berlaku kemalangan kecil, atau kehadiran kenderaan berat juga boleh menyebabkan aliran lalu lintas menjadi perlahan.
Sehubungan dengan itu, pemandu boleh melalui laluan alternatif yang dicadangkan iaitu; Jalan Kibas ke Jalan Tambunan; Bundu Tuhan ke Jalan Tambunan; Kota Kinabalu melalui Penampang ke Jalan Tambunan; dan Kundasang melalui Jalan Dumpiring, Mohimboyon, Tambiau, Marapong ke Jalan Tambunan.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka lebih awal bagi mengelakkan waktu puncak, menggunakan laluan alternatif jika perlu bagi mengelakkan kesesakan, mematuhi peraturan jalan raya dan mengelakkan pemanduan berbahaya.
Pemandu juga digesa untuk sentiasa mendapatkan maklumat trafik terkini melalui media sosial atau aplikasi navigasi, di samping memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan jauh.
“PDRM akan terus memantau keadaan trafik dan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa. Kerjasama semua pihak amat dihargai demi kelancaran lalu lintas dan keselamatan bersama,” kata kenyataan polis baru-baru ini.
Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sabah (JSPT) mengumumkan pelaksanaan Op Tembak Laju yang akan dilaksanakan secara menyeluruh di semua daerah dari 19 Mac 2026 hingga 24 Mac 2026.
Pelaksanaan operasi ini adalah bersempena dengan Op Selamat 26 yang bertujuan untuk meminimumkan risiko kemalangan jalan raya dan mendidik pengguna untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan oleh undang-undang.
JSPT menekankan bahawa tiada tawaran diskaun akan diberikan untuk saman yang dikeluarkan semasa tempoh operasi ini. Keputusan ini merangkumi saman untuk kesalahan memandu laju serta semua kesalahan lalu lintas lain bagi memastikan integriti penguatkuasaan kekal pada tahap tertinggi.
PDRM menyeru semua peringkat masyarakat untuk memberikan kerjasama penuh dengan mengamalkan pemanduan yang selamat. Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama untuk kesejahteraan masyarakat di Negeri Sabah.



