25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PBS Paginatan nafi fitnah “Rumah Dirompak”, Arthur Sen tegas sokong calon GRS

Arthur


RANAU: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.38 Paginatan, Datuk Arthur Sen, tampil menepis dakwaan yang tersebar di media sosial kononnya “rumah PBS Ranau sedang dirompak”.

Dalam satu kenyataan yang dihantar di facebook miliknya hari ini, beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu fitnah murah yang sengaja direka untuk menggugat keyakinan penyokong menjelang PRU DUN Sabah ke-17.

Arthur menegaskan penulis dakwaan itu bukan sahaja tidak dikenali, malah jelas tidak memahami struktur organisasi PBS. Katanya, tidak wujud entiti bernama PBS Ranau seperti yang disebut dalam tulisan tersebut, sebaliknya PBS hanya beroperasi mengikut bahagian DUN iaitu N.36 Kundasang, N.37 Karanaan dan N.38 Paginatan.

“Serangan itu sebenarnya ditujukan kepada saya dan Datuk Abidin Madingkir, tetapi dibuat dengan fakta yang tersasar jauh,” katanya

Beliau turut menjelaskan bahawa Mesyuarat Bahagian PBS Paginatan pada 11 Oktober lalu, melibatkan AJK Induk, Wanita dan Pemuda, telah sebulat suara menyatakan sokongan kepada Datuk Abidin Madingkir sebagai calon GRS untuk DUN Paginatan. Keputusan itu, katanya, dibuat secara kolektif dan bukan keputusan peribadi.

“Rujuk sahaja Setiausaha Bahagian, Tuan Sairin Kasiman. Segala keputusan dibuat mengikut saluran parti,” tegasnya.

Arthur juga menolak fitnah bahawa Datuk Abidin menggunakan tiket PBS. “Beliau bukan ahli PBS. Beliau ialah ahli GRS secara langsung, dan Perlembagaan GRS membenarkan perkara itu. Jadi tidak timbul isu menunggang PBS,” katanya.

Arthur dengan tegas menyelar tuduhan yang mendakwa beliau “menggadai maruah” atau menerima bayaran daripada calon GRS tersebut. “Tidak ada satu sen pun saya dibayar. Saya insan parti, keputusan pimpinan, saya patuh. Itu prinsip keutuhan parti,” jelasnya sambil menambah bahawa tuduhan liar itu datang daripada individu yang “kehabisan modal politik”.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua cawangan aktif PBS Paginatan bukan sahaja menerima baik keputusan parti, tetapi juga turun membantu jentera bagi memastikan kemenangan calon GRS. “Saya turun padang setiap hari menjelaskan kenapa rakyat perlu menyokong kerajaan GRS. Penulis fitnah itu mungkin tidak hadir, atau mungkin tuli,” sinisnya.

Arthur menegaskan bahawa PBS, yang telah bertahan selama 40 tahun sebagai salah satu parti tertua di Sabah, tidak mungkin goyah hanya kerana serangan seorang individu. Malah, beliau mencabar penulis fitnah tersebut, sekiranya benar ahli PBS—untuk bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian pada pemilihan parti awal 2026. “Itu saluran sebenar, bukan provokasi murahan,” katanya.

Arthur turut mengajak pengundi memilih kerajaan yang stabil dan berwibawa. “Kita tidak mengundi berdasarkan emosi seorang penyebar fitnah. Kita mengundi kerana mahukan masa depan Sabah yang lebih baik di bawah GRS,” katanya sambil menyeru rakyat Paginatan untuk memberikan mandat kepada calon GRS, Datuk Abidin Madingkir (Nombor 5).


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN